Polis cari Tuan Mochtar bantu siasatan kes tipu pingat

Polis Negeri Sembilan sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan mendapatkan pingat dan darjah kebesaran. Gambar kecil: Aibee Ab Ghani
Polis Negeri Sembilan sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan mendapatkan pingat dan darjah kebesaran. Gambar kecil: Aibee Ab Ghani
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan mendapatkan pingat dan darjah kebesaran daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka yang melibatkan kerugian RM650,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, individu tersebut dikenali sebagai Tuan Mochtar Tuan Abdul Malek yang beralamat di A3622, Lorong Tok Sira 18, Medan Tok Sira, 25050 Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, pada September 2017, mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan berusia 39 tahun telah berjumpa suspek di Kuala Lumpur bagi urusan perniagaan.

"Setelah beberapa kali perjumpaan, ahli perniagaan itu telah ditawarkan untuk mendapatkan pingat dan darjah kebesaran daripada TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka yang akan diuruskan sepenuhnya oleh suspek.

"Mangsa yang berminat telah bersetuju dengan tawaran tersebut dan telah diminta untuk membuat beberapa transaksi pembayaran wang berjumlah RM650,000 bagi tujuan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya sehingga hari ini, mangsa masih tidak menerima mana-mana undangan atau tawaran daripada mana-mana pihak bagi tujuan pengurniaan pingat dan darjah yang dimaksudkan.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Mohd Ramdzan A. Sukor di talian 019-9329643 atau 06-7682222.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: