X

Kindly register in order to view this article
!

Model Ekonomi Baru sudah hilang fokus

A
A

SHAH ALAM - Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilihat mampu menjadi dasar ekonomi dan pembangunan baharu menggantikan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilihat sudah hilang fokus.

Timbalan Dekan Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, ia kerana MEB yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac 2010 gagal mencapai matlamat.

Jelas beliau, MEB gagal menangani pelbagai masalah jurang perbezaan pendapatan serta kemiskinan merentasi kaum.

“MEB juga gagal meneruskan kesinambungan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sebelum ini menekankan pengurangan serta membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan, menambah peluang kerja serta mempercepatkan penyusunan ekonomi negara.

“Apabila DEB dihentikan, MEB ambil alih peranan namun matlamatnya yang terlalu menumpukan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menggagalkan matlamat sebenar.

“Jadi saya melihat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah dasar ekonomi dan pembangunan baharu yang boleh mengembalikan semula matlamat asal untuk menangani pelbagai masalah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Terdahulu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif merangkap ahli Lembaga Pengarah Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Mohd Nizam Mahshar dillaporkan berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan menjadi dasar ekonomi dan pembangunan baharu menggantikan MEB yang terkeluar daripada landasannya.

Katanya, MEB tidak berjaya mencapai matlamat berikutan masalah seperti jurang perbezaan pendapatan dan kekayaan antara kelas, bangsa dan wilayah serta perbezaan ketara rantaian bekalan, pembasmian kemiskinan dan penyusunan ekonomi.

Contoh DEB

Mohamad Fazli berkata, apa yang sepatutnya difokuskan adalah mengambil kejayaan DEB untuk dijadikan contoh dan segala kekurangan MEB pula ditambah baik dalam memantapkan lagi Wawasam Kemakmuran Bersama 2030.

Beliau berkata, sebagai contoh isu kemiskinan bandar dan luar bandar memang diberi perhatian oleh DEB tetapi pada masa kini, ia diberi takrifan seperti golongan berpendapatan rendah (B40), golongan berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan tinggi (T20).

“Banyak pihak terlalu fokus pada kemiskinan bandar terutamanya golongan B40, jadi saya rasa kaedah itu perlu diperkemas.

“Umpamanya peningkatan pendapatan, maka hasrat itu perlu tumpukan kepada mekanisme untuk bantu rakyat jana pendapatan bukan sekadar bagi bantuan sara hidup,” katanya.

Jelasnya, dasar itu juga perlu memberi perhatian kepada ekonomi digital yang dilihat berpotensi besar, selain memperkasakan bidang pertanian.

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 juga perlu memperkasakan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dahulunya dipandang sebagai second class tapi sebenarnya mampu melahirkan tenaga mahir tempatan yang berkemahiran tinggi serta boleh buat duit.

“Majikan juga perlu memastikan gaji atau insentif ditawarkan kepada rakyat tempatan berbaloi terutama dalam sektor 3D (dirty, dangerous,difficult) berbanding anggapan rakyat Malaysia memilih pekerjaan,” katanya.

Tambah beliau, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 mampu menjadi model dasar ekonomi dan pembangunan lebih baik daripada MEB sekiranya penumpuan kepada perkara-perkara tersebut diseimbangkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!