Bila Melayu mengamuk perasaan

A
A
A

TIBA-TIBA muncul program menganjurkan Kongres Maruah Melayu anjuran bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kongres yang akan diadakan pada Ahad ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor itu dikatakan untuk memberi jawapan kepada pihak yang cuba mencabar kedudukan Melayu.

Prof Dr Zainal Kling selaku Ketua Eksekutif Sekretariatnya berkata, dalam kongres itu semua universiti yang terlibat akan mengendalikan perbincangan mengikut kepakaran masing-masing. UM mengendalikan isu politik, UiTM pula isu ekonomi, UPSI mengenai pendidikan dan UPM pula memfokuskan isu agama dan kebudayaan.

Kongres itu diadakan di stadium, bukan di dewan persidangan. Nampaknya ia mengajak seluruh rakyat Melayu segenap lapisan untuk menghadirinya.

Barangkali kongres itu bakal memberi isi dan inti tambahan kepada apa yang telah dibicarakan pada Himpunan Penyatuan Ummah yang telah memeterai Piagam Muafakat Nasional yang diterajui dua parti besar iaitu UMNO dan Pas.

Namun yang menariknya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghadirinya. Hampir pasti Dr Mahathir akan bercakap dengan nada lantang dan tegas membela orang Melayu.

Nampaknya ucapan beraninya di PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bagai warm-up kepada apa yang beliau akan sampaikan di kongres itu.

Dalam konteks itu, adalah menarik sekiranya pemimpin tertinggi UMNO dan Pas hadir, ia tidak akan menjejaskan perjalanan kongres tersebut.

Artikel Berkaitan:

Malah, mereka yang kini sebagai big Malay and Muslim brothers akan memberi semangat dan mesej yang punyai kesan yang lama dan mendalam di mata orang lain.

Dari sudut pandang politik, kehadiran mereka itu bisa mendirikan bulu roma hadirin termasuk mereka yang memerhati daripada jauh. Berdiri bulu roma mereka di situ kerana berasa semangat atau berdiri bulu roma mereka di luar kerana seriau. Ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya.

Dalam pada itu, terdapat satu lagi perkembangan yang menarik dari sudut ekonomi. Kempen Buy Muslim First begitu berkesan kerana ramai orang Melayu sedar mengenainya. Ini satu lagi penyatuan yang sedang berlangsung.

Kempen yang tular melalui media sosial itu telah ‘memfarduainkan’ orang Melayu kerana mereka secara individu memikul tanggungjawab menjayakan kempen berkenaan.

Dari sudut umum, ia adalah kempen mengutamakan produk Muslim. Dari sudut praktiknya, ia adalah kebangkitan peniaga untuk menyusun dan memperkemas rantaian penawaran daripada pihak mengeluar, pengilang, pemborong, peruncit dan akhirnya pengguna.

Inilah yang sedang rancak berlaku. Khabarnya, Malakat Mall, sebuah pasar raya Muslim bakal dibuka tidak lama lagi. Ia adalah manifestasi betapa cepatnya orang Melayu boleh bertindak apabila semangat sudah membara.

Dari sudut sosial, kita sudah nampak keberanian orang Melayu untuk berpakaian tanjak yang memanifestasikan identiti Melayu. Kita tentu ingat beberapa tahun lalu seorang pemimpin Melayu memohon maaf apabila tindakannya mencium keris telah menyinggung kaum lain. Malangnya ketika itu, tiada Melayu lain yang berani membela.

Tidak lama kemudian apabila seorang pemimpin Melayu lain diprovok are you Malaysian first or Malay first, pemimpin Melayu itu teragak-agak menjawab dan orang Melayu lain tidak berani membelanya.

Sejumlah besar orang Melayu telah bersatu atas dasar bangsa dan agamanya. Mereka sedang mengamuk perasaan. Semangat ini sudah tidak dapat ditahan-tahan.

Jangan bimbang jika menganggap ia akan memusnahkan sebab mana mungkin orang Melayu akan memusnahkan satu-satunya tanah tumpah darahnya ini?

Kehadiran mereka itu bisa mendirikan bulu roma hadirin termasuk mereka yang memerhati daripada jauh. Berdiri bulu roma mereka di situ kerana berasa semangat atau berdiri bulu roma mereka di luar kerana seriau. Ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya."

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian