Bumbung pangsapuri tercabut hempap 10 kenderaan

Kejadian bumbung terbang di Pangsapuri Desa Rejang petang tadi. -Foto APM KL
Kejadian bumbung terbang di Pangsapuri Desa Rejang petang tadi. -Foto APM KL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hujan lebat disusuli ribut petang tadi menyebabkan bumbung di Blok D Pangsapuri Desa Rejang di sini tercabut dan menghempap kira-kira 10 kenderaan yang diletakkan di bahagian parkir.

Kejadian itu dikongsi orang awam menerusi video berdurasi 13 saat di laman sosial Facebook menunjukkan keadaan hujan lebat dan keadaan bumbung tercabut di tingkat 19 pangsapuri berkenaan.

Menurut Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Kapten Shahrul Kamar Mohd Johari, kejadian berlaku sekitar jam 4.45 petang dan satu pasukan terdiri empat anggota telah dihantar ke lokasi kejadian.

"Terdapat serpihan bumbung tercabut tersangkut pada rumah penduduk selain menghempap kira-kira 10 kenderaan. Namun tiada mangsa yang cedera ketika kejadian.

"Kerja pemantauan dilakukan sehingga keadaan terkawal sebelum menyerahkan tugas kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Jalan Hamzah dibuka bagi menempatkan penduduk dari Flat PKNS Kampung Baru yang terjejas dengan kejadian banjir kilat petang tadi.

"Dianggarkan jumlah penduduk yang ditempatkan di PPS adalah antara 30 hingga 100 orang selepas air naik sehingga 0.5 meter.

"Air mulai surut secara berperingkat sekitar jam 7 petang tadi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam satu kenyataan memaklumkan beberapa kawasan sekitar ibu kota dilanda banjir kilat dan insiden pokok tumbang.

Kenyataan itu memberitahu, insiden pokok tumbang dilaporkan berlaku di Taman Sri Rampai dan Wisma Felcra sekitar jam 5.42 petang.

"Pokok tumbang menghempap bangunan gazebo, pagar pejabat dan bumbung dalam kejadian di Taman Sri Rampai.

"Sementara di Wisma Felcra pula berlaku sebatang pokok tumbang dan menghempap lapan kereta namun tiada mangsa terlibat," katanya.

Kejadian pokok tumbang di Wisma Felcra petang tadi. -Foto JBPM KL
Kejadian pokok tumbang di Wisma Felcra petang tadi. -Foto JBPM KL