Ribut petir, hujan lebat diramal pada hari mengundi

MetMalaysia ramal berlaku ribut petir dan hujan lebat semasa hari pengundian bagi enam negeri pada Sabtu ini. - Gambar hiasan
MetMalaysia ramal berlaku ribut petir dan hujan lebat semasa hari pengundian bagi enam negeri pada Sabtu ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Ribut petir dan hujan lebat diramalkan berlaku semasa hari pengundian bagi enam negeri terlibat pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, cuaca buruk dijangka melanda negeri Selangor meliputi Petaling, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang pada sebelah pagi, manakala sebelah petang pula dijangkakan hujan dijangkakan di Hulu Selangor, Gombak serta Hulu Langat.

“Hujan lebat diramal melanda seluruh negeri Pulau Pinang pada waktu pagi dan ribut petir dijangka tertumpu pada tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah serta Seberang Perai Selatan pada waktu petang.

“Manakala di Negeri Sembilan, hujan lebat di Rembau dan Kuala Pilah selain Seremban dan Port Dickson dilanda ribut petir pada waktu pagi. Jelebu, Kuala Pilah, Jempol serta Tampin diramal ribut petir pada waktu petang,” jelas MetMalaysia.

Menurut kenyataan itu, amaran hujan lebat di Kedah lebih tertumpu di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang dan Kuala Muda manakala ribut petir diramal di Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, Kuala Muda, Baling, Kulim serta Bandar Baharu.

Tambah kenyataan itu, ribut petir dijangka melanda seluruh negeri Kelantan pada sebelah petang, namun cuaca baik pada waktu pagi

“Beberapa daerah di Terengganu seperti Kemaman dan Dungun dijangka mendung pada waktu pagi manakala Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang serta Hulu Terengganu dijangka mengalami ribut petir," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: