Bekas setiausaha Kementerian Kewangan didakwa rasuah

Rohaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas lima pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan rasuah berhubung tender penjualan hartanah di Hong Kong tahun lepas. - Foto Bernama
Rohaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas lima pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan rasuah berhubung tender penjualan hartanah di Hong Kong tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas setiausaha Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Kewangan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan berhubung rasuah tender penjualan hartanah di Hong Kong pada November lalu.

Tertuduh, Rohaya Sabot, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu selesai dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, Rohaya didakwa meminta suapan daripada Wan Mohamad Wan Yusuf iaitu wang tunai berjumlah RM3,000.

Ia sebagai dorongan untuk dirinya sebagai pegawai badan awam iaitu setiausaha pejabat yang bertugas di Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) membantu Wan Mohamad selaku wakil syarikat Allied Vantage International Group Limited (AVL) dipilih dan ditawarkan sebagai pembeli bagi aset kerajaan iaitu Bangunan Malaysia di 47-50, Gloucester Road, Wanchai, Hong Kong.

Rohaya dituduh melakukan kesalahan itu di Papparich Ayer@8, Lot B2-G-2 Ayer 8, Presint 8, Putrajaya, Wilayah Persekutuan pada 25 November 2018.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Rohaya dituduh menerima suapan masing-masing wang tunai berjumlah RM50,000 melalui akaun CIMB dan RM3,000 melalui deposit tunai kepada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya daripada individu sama sebagai dorongan melakukan perbuatan serupa.

Tertuduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Maybank Islamic Berhad Al-Idrus Cawangan Kuching di Tingkat 1, Wisma Satok, Jalan Satok, Kuching, Sarawak pada 14 dan 26 Disember 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Rohaya turut didakwa atas dua pertuduhan pilihan iaitu menipu Wan Mohamad selaku wakil syarikat AVL dengan memperdayakan lelaki itu untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu syarikat terbabit dapat dipilih dan ditawarkan sebagai pembeli aset yang sama.

Perbuatan itu mendorong mangsa memindahkan masing-masing RM50,000 dari akaun CIMB Bank ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad milik Rohaya dan memasukkan RM3,000 ke dalam akaun sama.

Rohaya dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan kerana kesalahan itu serius.

Bagaimanapun peguam Ravin Jay yang mewakili tertuduh memohon jumlah rendah iaitu RM10,000 kerana anak guamnya menanggung bapanya yang uzur.

"Anak guam saya seorang penjawat awam dan sudah berkahwin. Dia mempunyai pendapatan RM5,500 sebulan dan mempunyai komitmen pinjaman perumahan," katanya.

Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 29 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.