‘Bulat’ dinobat King of Sado HPPNT 2019

Dr Azman bergambar dengan Bulat yang dinobatkan sebagai juara pertandingan lembu sado sempena HPPNT 2019 di Jabi baru-baru ini.
A
A

BULAT, lembu baka Belgium Blue milik Amirul Firdaus Sasfarizam, 17, dinobatkan sebagai juara pertandingan lembu sado kategori senior atau King of Sado sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu (HPPNT) 2019.

Bulat berumur 2 tahun 4 bulan yang mempunyai berat hampir satu tan berjaya mengalahkan 45 ekor lembu sado lain dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Amirul Firdaus yang berasal dari Chalok, Setiu berkata, minat terhadap penternakan lembu sejak di bangku sekolah mendorongnya berkecimpung dalam bidang tersebut bersama bapa saudaranya tiga tahun lalu.

“Memang hobi sejak dari kecil lagi menyukai bidang ternakan ini. Dulu, saya membela lembu kampung, sekarang semuanya sudah dijual. Kini, lembu baka Belgium Blue, Limousin dan Charolaise pula jadi pilihan,” katanya yang mempunyai 16 ekor lembu.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Lembu Sado sempena HPPNT oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim di Dataran Pekan Jabi, Besut.

Amirul Firdaus (dua dari kiri) bersama Bulat yang dinobatkan sebagai juara pertandingan lembu sado kategori senior sempena HPPNT 2019.
Amirul Firdaus (dua dari kiri) bersama Bulat yang dinobatkan sebagai juara pertandingan lembu sado kategori senior sempena HPPNT 2019.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu kategori senior melibatkan lembu berumur lebih dari 2 tahun manakala kategori junior pula bagi lembu di bawah 2 tahun.

HPPNT 2019 berlangsung selama empat hari bermula 25 September menyasarkan kehadiran pengunjung 50,000 orang.

Selain juara HPPNT 2019, lembu milik Amirul Firdaus pernah mendapat naib juara pada pertandingan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Manir, Kuala Terengganu tahun lalu.

Lembu yang dinamakan sebagai Bulat itu diberikan makanan sebanyak 10 kilogram dedak dan rumput napier sehari selain dimandikan pada waktu pagi, petang dan malam.

Amirul Firdaus berkata, dia teruja apabila lembu peliharaannya diumumkan sebagai juara kerana sudah dapat merasakan mampu meraih kemenangan.

“Alhamdulillah, ALLAH kurniakan sebuah kejayaan kepada saya,” katanya.