Tidak berdiri ketika lagu Negaraku perbuatan malukan diri sendiri

Rakaman yang dimuat naik menunjukkan sekumpulan individu tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dalam satu majlis yang tular di media sosial.
Rakaman yang dimuat naik menunjukkan sekumpulan individu tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dalam satu majlis yang tular di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM- Pemilik akaun Facebook dan kesemua individu dalam video yang tidak berdiri ketika lagu Negaraku bukan hanya wajar dikutuk tetapi perlu malu pada diri sendiri serta seluruh rakyat Malaysia.

Penganalisis Bebas, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, tiada apa yang boleh dibanggakan melalui perbuatan itu kerana ia bukan tindakan hebat sebaliknya memalukan.

"Sebagai rakyat Malaysia, menjadi kewajipan serta tanggungjawab kita untuk menghormati lagu Negaraku sebagai lagu kebangsaan dan sebagai bukti perlulah berdiri. Kita perlu ada semangat patriotik dalam diri.

"Tindakan sekumpulan individu tidak berdiri sebagaimana video tular menunjukkan tiada rasa hormat.

"Apa pula motif sebenar individu memuat naik video itu ke laman sosial jika mahu rasa bangga. Dia silap kerana tiada apa yang hendak dibanggakan kerana bukan satu yang hebat," katanya ketika diminta mengulas mengenai video sekumpulan individu yang tidak menghormati lagu Negaraku yang menjadi tular di media sosial dalam satu kejadian di Kuching, Sarawak.

Dr Jeniri yang juga bekas Pensyarah Kanan Kajian Komunikasi, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak berkata, keterangan ditulis bersama video itu juga jelas melambangkan tahap keperibadian individu berkenaan.

Sebelum ini, pemilik akaun Facebook bernama Shaow Tung Leong yang turut menulis 'I will not stand and sing Malaya national anthem coz non of my business (Saya tidak akan berdiri untuk menyanyikan lagu kebangsaan Malaya kerana ia bukan urusan saya).

Netizen mengecam tindakan kumpulan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak beradab dan tidak menghormati lagu Negaraku sebagai lagu kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar semalam mengesahkan, pihaknya telah memanggil lapan individu untuk memberi keterangan berhubung kegagalan mereka menghormati lagu kebangsaan, Negaraku.

Kesemua individu terbabit yang dipercayai anggota kumpulan Sarawak For Sarawakian (S4S) memberi keterangan di Pusat Sehenti, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching petang semalam.

Terdahulu, Bukit Aman dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terlibat dalam video tular tidak menghormati lagu Negaraku di Sarawak.

Netizen sebelum ini meminta polis menyiasat tindakan sekumpulan individu yang tidak berdiri bagi menghormati lagu kebangsaan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Video hina lagu Negaraku: Bukit Aman ambil tindakan