Ringgit meningkat 4.31 peratus kepada RM3.89 setakat 1 Mac - Amir Hamzah

Amir Hamzah pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
Amir Hamzah pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai ringgit terus meningkat sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 1 Mac 2026, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, pengukuhan ringgit mencerminkan asas domestik yang kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada 5.2 peratus mengatasi unjuran asal.

"Pertumbuhan ini disokong pengembangan merentasi sektor, khususnya perkhidmatan dan pembuatan dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Negara pada Isnin.

Dari segi perkembangan global, katanya, penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat serta jangkaan persekitaran kadar faedah yang lebih rendah dalam kalangan ekonomi utama dunia menyokong pengukuhan nilai ringgit.

"Keadaan ini turut dipacu sentimen pelabur yang positif, persekitaran perdagangan dunia yang berkembang serta aliran pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata, komitmen ditunjukkan kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan telah meyakinkan pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi.

"Pertumbuhan KDNK suku keempat 2025 mencatat 6.3 peratus, tertinggi bagi tempoh tiga tahun dan mengatasi anggaran awalan.

"Ini mendorong pertumbuhan KDNK keseluruhan 2025 pada 5.2 peratus (2024: 5.1 peratus), sekali gus melepasi unjuran rasmi kerajaan antara 4 dan 4.8 peratus,” katanya.

Beliau berkata, dengan politik yang stabil, dasar ekonomi dapat dilaksanakan dengan jelas dan berkesinambungan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Nilai ringgit meningkat sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat setakat 1 Mac 2026
  • Pengukuhan ringgit mencerminkan asas domestik yang kukuh dengan pertumbuhan KDNK 2025 sebanyak 5.2 peratus
  • Pertumbuhan ekonomi disokong oleh ekspansi sektor perkhidmatan dan pembuatan serta permintaan domestik
  • Penurunan kadar faedah di AS dan jangkaan kadar faedah dunia yang lebih rendah menyokong pengukuhan nilai ringgit
  • Komitmen kerajaan dalam pembaharuan meningkatkan keyakinan pelabur dan mendorong pertumbuhan ekonomi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!