142 anggota polis positif dadah

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 142 anggota polis dikesan positif dadah dalam saringan awal menerusi Op Blue Devil yang dijalankan di setiap kontinjen bermula 13 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, operasi berkenaan tidak pernah dihentikan dan pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan secara berterusan serta menyeluruh.

“Kita tidak akan hentikan (Op Blue Devil) kerana pucuk pimpinan (Polis Diraja Malaysia) berhasrat untuk membersihkan PDRM ini daripada gejala tidak sihat khasnya dadah.

“Kita tidak boleh ada pegawai polis yang ada ‘brain diseases’ dalam PDRM, pasukan PDRM mesti bersih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Mohd Khalil berkata, sehingga tempoh ini tiada pegawai berpangkat tinggi yang dikesan positif dadah.

“Apabila disebut saringan awal bermakna positif awal. Semua daripada 142 tadi, kita akan tuduh jika laporan daripada patologi positif.

“Tindakan yang kita ambil adalah sama seperti tindakan yang kita ambil kepada orang awam. Tiada perbezaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil berkata, PDRM tidak mempunyai sebarang halangan mengenai dasar ‘decriminalisation’ terhadap penagih dadah yang hendak dilaksanakan kerajaan.

Menerusi dasar itu, penagih dadah tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah sebaliknya memerlukan rawatan dan pemulihan yang melibatkan rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan anggota keluarga dan masyarakat.