Siasatan kes Adib masih diteruskan: Mazlan

Mazlan (dua dari kanan), Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop bersama pemenang kejohanan tersebut.
Mazlan (dua dari kanan), Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop bersama pemenang kejohanan tersebut.
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor menegaskan pihak polis tidak pernah berhenti menjalankan siasatan terhadap kematian anggota bomba dan penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Katanya, siasatan masih diteruskan walaupun kenyataan mengenainya telah pun dibuat (merujuk kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador).

"Kita tidak pernah berhenti melakukan siasatan jenayah terhadap insiden ini, kita masih meneruskan siasatan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Kejohanan Olahraga dan Tarik Tali Piala Ketua Polis Negara di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hari ini.

Mazlan
Mazlan

Mahkamah Koroner pada Jumaat lepas memutuskan kematian anggota bomba dan penyelamat balai Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca daripada tindakan jenayah lebih seorang individu tidak dikenali.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mazlan berkata, polis mengesahkan ada menerima laporan ke atas seorang pemilik akaun Twitter berhubung dakwaan 200,000 individu telah diberikan sijil kewarganegaraan baru yang berikrar sedia membalas budi kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

Artikel Berkaitan:

"Laporan baru dibuat, kita akan lakukan siasatan. Setakat ini belum ada tangkapan," katanya.

Terdahulu, media hari ini melaporkan Jabatan Pendaftaran Negara telah membuat laporan polis pada pukul 11 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung dakwaan pemilik akaun Twitter berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai laporan media antarabangsa yang mendakwa ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low kini berada di Los Angeles, Amerika Syarikat, Mazlan berkata, pihaknya tiada maklumat.

"Tanya dialah (media antarabangsa). Saya tak tahu," katanya.