Kampung Baru: Boleh tawar harga tinggi asalkan patuhi syarat

Suasana di Kampung Baru berlatarbelakangkan bandaraya Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Suasana di Kampung Baru berlatarbelakangkan bandaraya Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan tidak menghalang malah terbuka kepada mana-mana pihak untuk menawarkan harga yang lebih tinggi bagi tanah Kampung Baru asalkan syarat pemilikan dipatuhi iaitu milik orang Melayu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya menyambut baik pandangan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim bahawa harga yang sepatutnya bagi tanah Kampung Baru adalah RM2,000 sekaki persegi dan bukannya RM850 sebagaimana ditawarkan Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Saya berharap pandangan ini adalah pandangan kolektif DPMM sendiri dan ianya berdasarkan penilaian yang dilakukan secara profesional.

"Sehubungan dengan itu, saya mengalu-alukan sekiranya DPMM mengusahakan agar tanah di Kampung Baru dibeli dengan harga RM2,000 sekaki persegi.

"Saya yakin berdasarkan penilaian profesional yang dilakukan, DPMM akan mampu mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan untuk menjayakan pembelian ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khalid berkata, jika DPMM bersetuju untuk membelinya dengan harga RM2,000 sekaki persegi, beliau akan pastikan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Kampung Baru memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membolehkan DPMM membeli tanah penduduk Kampung Baru dengan harga yang ditawarkan.

"Saya yakin hasrat DPMM ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: