Rakyat dipinggir kerana rumah

A
A
A

SARANAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebelum ini untuk menyelesaikan masalah lambakan rumah mewah patut juga dipuji.

Rumah-rumah mewah terbiar boleh menyebabkan sakit mata melihatnya. Lebih-lebih lagi kepada rakyat jelata yang tidak mampu membelinya pula.

Kata Zuraida, cadangannya yang belum dibentang lagi. Lambakan rumah mewah di Malaysia akan dapat diselesaikan apabila dijual kepada pembeli dari Hong Kong dan China. Dengan itu, masalah rumah mewah tidak terjual yang lebih kurang RM100 bilion harga pasaran akan selesai.

Maka pemaju pula akan melompat gembira kerana masalah lambakan rumah mewah tidak dijual selesai. Pada masa sama, dapat mengaut untung besar pula. Kata Menteri Perumahan lagi, itu akan memacu ekonomi negara untuk bergerak dengan lancar sekurang-kurangnya dan dapat merancakkan pemaju untuk membina projek pembinaan rumah dengan lebih giat lagi.

Rumah-rumah mewah itu memang tidak dinafikan, harganya memang terlampau mewah. Bahkan rumah biasa-biasa sekarang pun sebenarnya mahal juga harganya. Sudah tidak ada lagi rumah yang harganya murah.

Dahulu semasa saya terlibat dengan projek pembinaan rumah, ada kiraannya juga. Kiraannya, 30 peratus harga barang, 30 peratus upah pekerja, 30 peratus untung dan 10 peratus lagi lebih kepada pengurusan pula.

Sekarang saya tidak tahu, adakah pemaju masih mendapat untung 30 peratus untuk sebuah rumah atau tidak. Tetapi melihat kepada harga rumah yang memang tidak masuk akal mungkin pemaju mendapat untung lebih.

Menteri Perumahan perlu juga melihat pasaran untuk rakyat marhaen. Walaupun Menteri Perumahan memang ada rancangan untuk menaik taraf rumah mampu milik, namun rumah-rumah terbiar ini elok juga difikirkan.

Artikel Berkaitan:

Ambil alih

Rumah-rumah mewah itu, kalau sudah terbiar dan tidak ada pembeli, eloklah diambil alih sahaja. Beri kepada rakyat marhaen sahaja. Hendaklah dipaksa pemaju menjual dengan harga murah pula, bukan berfikir untung sahaja.Kalau pemaju enggan, maka rampas sahaja rumah itu. Seperti di Libya dulu, jika ada sahaja rumah ekspatriat yang tidak diduduki beberapa bulan, maka kerajaan terus robohkan sahaja. Membazir terbiar begitu. Lebih baik diberi kepada rakyat jelata.Mungkin Menteri Perumahan boleh fikirkan mana yang terbaik untuk rakyat dari memikirkan untuk kepentingan pemaju sahaja. Pemaju sudah banyak untungnya. Kaya raya juga. Kalau rumah mewah itu terjual pula kepada warga Hong Kong dan China, maka bertambah kaya-rayalah pemaju.

Harga rumah walaupun dikatakan mengikut harga pasaran, kebanyakan harga tidak munasabah juga. Memang sangat tidak munasabah. Alasannya, dikatakan sebab rekabentuk mewah atau tempat strategik dan material digunakan mahal walaupun mungkin material yang digunakan murah.

Untuk material pun pemaju mungkin sudah mengaut keuntungan juga dan untung daripada upah pekerja pun dapat juga. Kemudian dijual lagi dengan harga yang dapat melonjakkan untung kepada 30 peratus sekurang-kurangnya lagi. Atau mungkin lebih juga.

Saranan saya, walaupun Menteri Perumahan mempunyai idea bagus juga yang mungkin mendapat ilham daripada mimpi ini, untuk cuba mengurangkan lambakan rumah mewah yang tidak terjual, elok idea itu lebih kepada manfaat rakyat jelata sahaja.

Yang penting menteri hendaklah selalu bersama rakyat dan berfikir untuk rakyat sahaja. Maka apabila sejahtera hidup rakyat, maka sejahteralah negara, maka Menteri Perumahan juga yang akan gembira.

Pada masa yang akan datang, rakyat jelata akan menyokong dan mengundi menteri lagi. Lagipun janganlah digunakan rakyat jelata ketika perlu sahaja. Mungkin menteri kena berhati-hati dengan pemaju. Pemaju yang hanya hendak mengaut keuntungan ini perlu diberi pengajaran untuk menanggung rugi juga.

Jika tidak dibuat begitu, maka pemaju ini akan berasa selesa pula. Dan yang menderita hanya rakyat jelata. Rakyat asing pula yang memiliki rumah mewah di sini mungkin perlu dihadkan juga. Tidak perlu terlampau memberi muka juga.

Akhir kalam, dari saya untuk Menteri Perumahan yang sentiasa mengambil berat akan kepentingan rakyat ini, perlu memahami akan peribahasa bijak pandai orang Melayu tua bijaksana kita ini juga supaya tidak tersesat jalan iaitu tidaklah terjadi seperti, laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan pula.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com