X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan jadikan keputusan Inkues Adib isu perkauman: TPM

Wan Azizah
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak mahu rakyat negara ini menjadikan keputusan inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai isu perkauman.

Menurutnya, rakyat juga diminta bertenang dengan tidak menjadikan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib sebagai satu pertimbangan politik yang akhirnya membawa kepada perpecahan.

Katanya, kerajaan menghormati keputusan inkues Mahkamah Koroner Shah Alam dan menyokong kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang memberi jaminan akan membuka semula kertas siasatan kes berhubung kematian Allahyarham Adib.

"Ini bukan satu kes perkauman atau apa. (Perbuatan) ini kalau salah disebabkan kesalahan pihak atau individu tertentu.

"Jangan jadikan keputusan inkues kes kematian Allahyarham Adib berasaskan perkauman. Jenayah adalah jenayah, bukan kerana kita keturunan Melayu, India atau Cina," katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Rahmah 2019 anjuran Jabatan Perdana Menteri(JPM) dan Jabatan Agama Idlam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Dr Wan Azizah berkata, semua rakyat perlu menjaga keamanan negara dengan tidak membangkitkan sentimen perkauman.

Dr Wan Azizah (dua dari kanan) menyempurnakan upacara pemakaian jaket Sukarelawan Rahmah kepada wakil pertubuhan bersama Mujahid (tiga kiri) pada majlis perasmian Karnival Rahmah 2019 di Dataran Putrajaya, petang ini.
Dr Wan Azizah (dua dari kanan) menyempurnakan upacara pemakaian jaket Sukarelawan Rahmah kepada wakil pertubuhan bersama Mujahid (tiga kiri) pada majlis perasmian Karnival Rahmah 2019 di Dataran Putrajaya, petang ini.

"Jangan politikkan apa-apa isu ini. Rakyat kena bertenang dengan tidak menjadikan kes (Allahyarham) Adib satu pertimbangan politik,"katanya.

Hari ini, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.

ARTIKEL BERKAITAN: Adib ditarik keluar, dihentak pada hujung daun pintu EMRS

Polis siasat, cari pihak terlibat kematian Adib: KPN

Koroner, Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba ketika kejadian boleh diterima serta ada asa, selain disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Menurutnya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.

"Punca kematian Muhammad Adib bukan daripada dirinya sendiri,"katanya.

Prosiding yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi selesai pada jam 10.15 pagi.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar serta bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus