'Wasiat Agung' malam ini buka tirai Karnival Rahmah 2019

Antara aktiviti menarik sempena Karnival Rahmah di Dataran Putrajaya bermula dari jam 8.30 malam ini hingga 29 September 2019 ini. Ada lebih 20 acara menarik menanti pengunjung.
Antara aktiviti menarik sempena Karnival Rahmah di Dataran Putrajaya bermula dari jam 8.30 malam ini hingga 29 September 2019 ini. Ada lebih 20 acara menarik menanti pengunjung.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Forum Perdana Ehwal Islam yang membawa tajuk 'Wasiat Agung' pada 8.45 malam ini menjadi acara pembuka tirai Karnival Rahmah 2019 yang akan berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail berkata, forum yang akan disiarkan secara langsung di Saluran Tv1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari Dataran Putrajaya itu menampilkan beberapa pendakwah terkemuka tanah air seperti Imam Muda Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan dan Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad.

Beliau berkata, skop perbincangan forum itu meliputi dua wasiat agung yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah.

"Kira-kira 3,000 orang dijangka menghadiri forum itu malam ini dan esok kita minta orang ramai hadir sertai pelbagai acara dengan hadiah-hadiah menarik yang telah kita sediakan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Karnival Rahmah 2019 bawa mesej kasih sayang, harmoni

Hayati mesej Islam menerusi Karnival Rahmah 2019

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual merasmikan karnival itu di Dataran Putrajaya petang esok.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa semalam, karnival anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama JAWI yang berkonsepkan 'didik hibur' itu menampilkan pelbagai program menarik yang menerapkan mesej antaranya kasih sayang, persaudaraan dan kehidupan dalam suasana harmoni.

Artikel Berkaitan:

Antara program yang disusun atur adalah karnival kanak-kanak dan program pencarian bilal yang berlangsung esok, serta Maidatul Quran (acara yang menyajikan pelbagai bacaan ayat suci al-Quran), Larian Ria Halal dan pesta buah-buahan pada Sabtu.

Selain itu acara jamuan Rahmah pada Sabtu ini juga akan menyajikan makanan kepada pengunjung secara percuma bermula jam 5 petang, selain Konsert Rahmah yang bermula jam 9 malam, Eco Alami Ride yang bermula jam 7 pagi Ahad serta pertunjukan paragliding (Sabtu dan Ahad) bermula 4.30 petang.

Orang ramai juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik sepanjang karnival ini antaranya pakej umrah dan motosikal Yamaha 15ZR dengan mengumpulkan cop di gerai-gerai yang ditetapkan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Karnival Rahmah boleh layari Facebook Karnival Rahmah 2019 atau Instagram KarnivalRahmah2019. - Bernama