Sembilan lagi rumah di Paya Jaras akan dirobohkan

Khairuddin (kanan) bersama Wartawan Sinar Harian, Muhammad Aminnuralif Mohd Zoki ketika sesi Live Sinar Harian bertempat di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Khairuddin (kanan) bersama Wartawan Sinar Harian, Muhammad Aminnuralif Mohd Zoki ketika sesi Live Sinar Harian bertempat di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Baki sembilan rumah di plot C dan D yang berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras akan dirobohkan secara keseluruhan pada 10 Oktober ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, Pejabat Daerah Petaling telah mengeluarkan notis kepada penduduk terlibat untuk mereka berpindah.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan negeri memberikan laluan terlebih dahulu kepada anak-anak penduduk terlibat untuk menjalani peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Kita kena mulakan projek ini dan ia tiada pilihan disebabkan tapak mula projek adalah pada plot C dan D.

"Ada beberapa rumah yang masih kita pertahankan sebelum ini kerana ada anak-anak mereka yang mengambil peperiksaan, dan kini masanya telah berlalu, dan tindakan perobohan akan dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas sesi Live Sinar Harian bertempat di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai isu perobohan itu katanya, perkara ini tertangguh sejak tahun 2015 lagi.

"Perkara ini tertangguh sejak zaman Exco terdahulu lagi yang mana meminta kerja perobohan dilaksanakan, namun saya akui ketika itu saya mempertahankan ia daripada dirobohkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana pada ketika itu saya lihat tiada pembelaan yang sewajarnya termasuk dari segi tawaran yang diberikan, dan apabila saya dilantik sebagai Exco, dan kita menawarkan rumah Selangorku, dan barulah saya setuju kerja pelebaran sungai dijalankan," katanya.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Khairuddin berkata, pada asalnya ketika 2015 sebanyak 182 buah rumah yang terlibat bagi kerja pelebaran Sungai Kedondong ini.

"Geran yang terlibat perobohan asalnya 2015 dan jumlah rumah yang terlibat adalah 182 buah rumah, jadi waktu itu saya minta kepada Menteri Besar kurangkan balik projek ini dan rumah daripada 182 kita berjaya kecilkan sehingga 92.

"Dan seterusnya kita bahagikan kepada empat plot, kalau mereka katakan ada geran, saya nak ajukan soalan kepada mereka, mereka ada berapa banyak geran, 90 geran, 80 geran, 50 geran," katanya.

Beliau menegaskan, media sosial bukan medium untuk buktikan berapa banyak geran yang ada.

"Media sosial bukan medium tepat untuk nak buktikan, kalau betul kerajaan ini terkilaf atau tersilap kita ada saluran seperti mahkamah.

"Kalau betul apa yang dikatakan itu sah, gunakan saluran yang betul, kerajaan tidak berurusan dengan media atau Facebook, jadi soalan saya kalau ada geran tengok berapa ramai yang ada," katanya.

23 September lalu, penduduk yang tinggal dalam khemah selepas kediaman berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras dirobohkan mula mengosongkan tapak penempatan sementara itu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati hanya sebahagian penduduk masih berada di khemah berkenaan untuk mengemas barangan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras, Azroy Abdul Manaf berkata, semua penduduk yang berteduh di khemah itu telah mendapat rumah sewa baharu dan akan mula mengosongkan tapak berkenaan.