X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Belanjawan 2020: Nelayan mohon kurangkan cukai beli peralatan

Kurangkan cukai untuk peralatan nelayan, adalah antara permintaan golongan itu menjelang pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen, 11 Oktober ini.
A
A

PONTIAN - Kurangkan cukai untuk peralatan nelayan, adalah antara permintaan golongan itu menjelang pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen, 11 Oktober ini.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Johor Selatan, Yaacob Mohd Said berkata, para nelayan kini berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pengecilan kawasan perikanan berikutan pembangunan di persekitaran perairan Tanjung Piai.

“Saya memang berharap pihak kementerian menurun atau menghapuskan cukai peralatan nelayan seperti enjin, jaring, bot. Bila nelayan beli (peralatan) dengan harga yang lebih rendah dengan pendapatan kini, maka adillah dengan pendapatan ini,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Tanjung Piai di sini hari ini.

Mengakui pendapatan kini tidaklah sebaik dahulu, dia berkata pendapatan yang boleh dibawa balik ke rumah agak rendah berbanding beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kalau peralatan dibeli dengan harga tinggi, ia agak membebankan untuk kami, jadi saya berharap tolonglah pihak kami, masyarakat nelayan di sini,” katanya yang telah bekerja sebagai nelayan selama 15 tahun.

Bapa kepada enam anak itu, turut mengharapkan elaun sara hidup nelayan ditambah baik memandangkan cabaran masa kini bagi para nelayan untuk membawa pulang pendapatan baik untuk keluarga seperti dahulu.

“Ada antara kami terpaksa buat kerja-kerja kebun untuk menampung keluarga selain keluar ke laut untuk mencari hasil. Kadang-kala tidak setimpal apa yang kami dapat dengan kos yang kami keluarkan,” katanya.

Perkara yang sama turut diakui oleh seorang lagi ahli persatuan iaitu Jofri Abdul Rahim.

Dia yang menjadi nelayan sejak berusia 12 tahun pula mengharapkan agar kerajaan dapat melonggarkan syarat-syarat untuk memohon bantuan bagi nelayan.

Buat masa ini, terdapat kira-kira 55 nelayan di sekitar Tanjung Piai, dengan hanya 15 dipercayai masih aktif. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!