Helah sembunyi dadah dalam teh Cina terbongkar

Kamarudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Johor hari ini.
Kamarudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Johor hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Helah menyembunyikan dadah dalam bungkusan teh Cina gagal apabila taktik tersebut dihidu polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kota Impian 2, Yong Peng, malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam serbuan jam 11 malam itu, pihaknya berjaya merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM232,230 termasuk syabu.

Menurutnya, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun bersama dua wanita warga Vietnam berusia 29 tahun dan kesemuanya didapati positif syabu.

"Dalam serbuan itu juga, polis merampas dadah jenis heroin seberat 5.082 kilogram, syabu seberat 444 gram dan 450 biji pil erimin 5.

"Polis masih menyiasat sama ada ketiga-tiga suspek ini adalah pengedar atau cuma penjaga stor simpanan dadah yang dirampas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai lima rekod jenayah narkotik dan satu rekod jenayah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, manakala kedua-dua wanita tersebut dipercayai rakan lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Kamarudin berkata, ketiga-tiganya tidak mempunyai pekerjaan dan tidak menolak kemungkinan pekerjaan mereka berkaitan dengan dadah terbabit.

Polis turut menyita tiga buah kereta jenis Volvo, Proton Satria dan Toyota Wish serta seutas jam tangan jenis Omega dan wang tunai berjumlah RM1,214.

Nilai keseluruhan harta yang disita ialah RM106,214.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 30 September untuk siasatan lanjut.