Pengajar pusat pemulihan akhlak cederakan pelatih

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tiga tenaga pengajar sebuah pusat pemulihan akhlak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan dua pelatih pusat itu, November lepas.

Mohamad Adam M Sukeri, 25; Mohd Azam Abdul Hamid, 33, dan Mohamad Syamim Che Hashim, 29, yang bertugas di Teratak Tautan Kasih Murabbi membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada pelatih lelaki Muhammad Haizzat Haiqal Hamdan, 18, di Kampung Hujung Permatang Batu Lintang, dekat sini pada 1.30 petang, 26 November lalu.

Sementara itu, Mohd Azam mempunyai dua lagi pertuduhan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan seorang lagi pelatih lelaki Muhamad Hafizul Sharuddin, 22, di alamat, masa dan tarikh yang sama dan satu lagi pertuduhan mencederakan Muhammad Haizzat dengan sebatang rotan di pusat itu yang terletak di Bandar Amanjaya pada 2 petang tarikh sama.

Mohamad Syamim juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu didakwa sengaja mencederakan Muhammad Haizzat dengan sebatang paip getah di teratak itu pada 2 petang tarikh yang sama.

Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mohd Azam dan Mohamad Syamim turut didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 seorang bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nordiyanasari Omar manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, di Mahkamah Majistret yang lain, Mohd Azam dan Mohamad Syamim juga masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamad Fared Abd Latif atas pertuduhan mencederakan Muhamad Hafizul.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Azam didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhamad Hafizul menggunakan sebatang rotan di pusat itu pada 2 petang tarikh sama manakala Mohamad Syamim dituduh mencederakan pelatih lelaki itu dengan batang paip getah di lokasi sama serta waktu dan tarikh sama.

Sehubungan itu, mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan terutamanya mangsa.

Mahkamah menetapkan 31 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan bagi kes berkenaan dikendalikan TPR Geetha Jora Singh manakala peguam YBGK mewakili kedua-dua mereka. - Bernama