'Najib minta saya ikut arahan Jho Low bawa pulang dana 1MDB'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau diminta mengikuti arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung soal membawa balik dana 1MDB yang dilabur di PetroSaudi International Ltd, sebuah syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak memintanya berbuat demikian selepas saksi itu bertanyakan bekas perdana menteri itu tentang langkah membawa balik dana tersebut.

Saksi kesembilan itu memberi jawapan kepada soalan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-12 perbicaraan 1MDB Najib.

Sri Ram: Adakah tertuduh pada bila-bila masa meminta anda mengikuti arahan Jho Low?

Shahrol Azral: Tidak. Datuk Seri Najib tidak pernah meminta beliau mengikuti arahan Jho Low. Bagaimanapun beliau ada memberi bayangan demikian sekali dua, bila saya bertanyakan beliau tentang membawa balik dana tersebut.

"Ini kemungkinan besar terjadi pada 2010 atau 2011, ketika mana Datuk Seri Najib memberitahu saya supaya berbincang dengan Jho Low," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya kepada siapa bon TIA bernilai RM5 bilion dijual, saksi berkata, ia dijual kepada dua entiti berpangkalan di Singapura dan Hong Kong.

Katanya, bon bernilai RM5 bilion dijual pada harga RM4.369 bilion pada 26 Mei 2009 menerusi satu perjanjian antara TIA dan AmInvestment Bank Berhad.

Artikel Berkaitan:

TIA ditubuhkan pada 27 Februari 2009 dan menukar namanya kepada 1MDB pada 25 September 2009.

"Pembeli bon itu dikenal pasti pada 2018 dan jabatan jenayah komersial polis di Bukit Aman telah menunjukkan laluan pergerakan wang dari jualan bon itu. Saya tahu dua entiti ... satu berpangkalan di Singapura dan satu di Hong Kong. Saya tidak ingat nama-nama mereka yang telah menjual semula bon itu kepada entiti di Malaysia pada nilai tara.

"Polis kata dua entiti itu milik Jho Low," katanya dan menjelaskan beliau diberitahu oleh Asisten Komisioner R Rajagopal.

Najib, 66, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dikatakan melakukan kesalahan rasuah itu di AmIslamic Bank Berhad Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama