Lari tinggal dapur, pelanggan

Pekerja kedai makan masakan Thai yang ditahan dalam operasi yang dilakukan Jabatan Imigresen Pulau Pinang malam semalam.
Pekerja kedai makan masakan Thai yang ditahan dalam operasi yang dilakukan Jabatan Imigresen Pulau Pinang malam semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan tujuh pekerja termasuk tukang masak di sebuah kedai makanan Thai di Jalan Dato Koyah di sini semalam kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di negara ini.

Ketika serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu, pekerja yang menyedari kehadiran anggota imigresen bertempiaran lari mengejutkan pelanggan di kedai itu.

Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, serbuan dilakukan selepas beberapa minggu intipan dan mendapati kedai makan berkenaan menggunakan sepenuhnya pekerja dari Thailand.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, kesemua mereka cuba melarikan diri melalui pintu belakang tetapi gagal kerana kawasan berkenaan sudah dikepung.

"Empat lelaki dan tiga wanita warga Thailand lari meninggalkan dapur masakan serta pelanggan mereka sebaik melihat anggota kami masuk ke kedai.

"Pelanggan yang sedang menunggu hidangan makan malam terpaksa pulang dan mencari kedai makan lain," katanya ketika dihubungi di sini.

Muhamad Husni berkata, dalam operasi sama anggotanya turut menyerbu sebuah restoran masakan Thai di Tanjong Tokong dan menahan tiga pekerja warga Thailand atas kesalahan sama.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Imigresen memeriksa warga asing ketika serbuan semalam.
Pegawai Imigresen memeriksa warga asing ketika serbuan semalam.

Sementara itu, pasukan itu turut memeriksa beberapa pondok pengawal di beberapa apartmen di Tanjong Tokong selain melakukan pemeriksaan di kedai runcit yang menjadi tumpuan warga asing.

"Kita turut memeriksa beberapa buah rumah yang dihuni warga asing di Kampung Tok Elong Bukit Mertajam.

"Tujuh individu warga Indonesia ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal di negara ini melebihi tempoh," katanya.

Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan berusia di antara 19 hingga 40 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Seberang Jaya untuk dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Warga Asing di Juru untuk tindakan lanjut.