PRK Tanjung Piai: Pas akan adakan mesyuarat khas

Ahmad Samsuri melakukan gimik pelancaran program latihan kemahiran di Pondok 2019 di Pondok Ibtida’ie Ajil di sini hari ini.
Ahmad Samsuri melakukan gimik pelancaran program latihan kemahiran di Pondok 2019 di Pondok Ibtida’ie Ajil di sini hari ini.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Pas dijangka akan mengadakan mesyuarat khas sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat Selasa depan bagi membincangkan tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini parti itu masih belum mengadakan perbincangan sama ada akan meletakkan calon atau tidak.

"Belum ada perbincangan lagi (bertanding atau tidak). SPR pun belum tetap tarikh lagi, jadi kita pun belum buat keputusan.

"SPR akan bincang (bermesyuarat)pada 1 Oktober ini. Insya-ALLAH selepas itu kita akan maklumkan keputusan kita," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat serta Pelancaran Program Latihan Kemahiran di Pondok 2019 bertempat di Pondok Ibtida’ie Ajil di sini hari ini.

Ditanya sama ada Pas dan UMNO ada berbincang kerjasama termasuk dalam pilihan raya, Ahmad Samsuri menjelaskan perbincangan secara tidak rasmi sedang berjalan dengan UMNO, hasil himpunan perpaduan ummah yang lalu.

Beliau turut melihat perbincangan dan pertemuan yang dilakukan antara kedua-dua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung juga menunjukkan reaksi positif.

"Dalam PRK kita bukan berebut-rebut nak bertanding atau tak nak bertanding kerana yang penting kita kerja bersama-sama untuk dapat keputusan terbaik.

"Tiada masalah Pas bertanding atau tidak kerana objektif asalnya kemenangan.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu kerjasama kita akan diteruskan sebagaimana di Semenyih, Seri Setia, Cameron Highlands dan lain-lain. Itu adalah langkah kerjasama yang dijalankan dan pada masa akan datang, tentu hasilnya lebih hebat hasil himpunan perpaduan ummah," katanya.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas penyandangnya, Dr Md Farid, 43, meninggal dunia di Hospital Pontian Johor awal pagi Sabtu lalu akibat sakit jantung.

Allahyarham bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menewaskan penyandangnya, Datuk Wee Jeck Seng daripada MCA dengan memperoleh 21,255 undi sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.