'Jangan buat spekulasi kes tetak di Bayan Lepas'

Narenasagaran (kanan) bertanya sesuatu kepada jemputan yang hadir pada majlis perasmian Seminar Keselamatan Antarabangsa Ke- 5 hari ini.
Narenasagaran (kanan) bertanya sesuatu kepada jemputan yang hadir pada majlis perasmian Seminar Keselamatan Antarabangsa Ke- 5 hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Henti buat andaian dan spekulasi berhubung kejadian amuk dan tetak yang berlaku di sebuah kilang di Bayan Lepas di sini petang semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, pihaknya kini masih menyiasat motif sebenar suspek berusia 25 tahun yang menetak dua kakitangan kilang berkenaan sehingga menyebabkan salah seorang maut.

Menurutnya, polis kini sedang mengumpul maklumat termasuk mendapatkan keterangan daripada keluarga, teman serumah dan rakan sekerja lelaki berkenaan.

"Banyak andaian dan spekulasi yang dibuat orang ramai mengenai kejadian itu, jadi saya minta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak benar atau sahih kerana ia hanya akan mengganggu siasatan," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Antarabangsa Ke-5 di sini pagi tadi.

Semalam Sinar Harian melaporkan seorang penyelia bahagian kawalan kualiti maut manakala seorang pengurus keselamatan parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian amuk yang berlaku di sebuah kilang di Bayan Baru.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, lelaki berusia 25 tahun tersebut dikatakan menyerang kedua-dua mangsa sebelum dia ditembak mati oleh sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

Sementara itu, Narenasagaran berkata, siasatan awal mendapati suspek masuk ke kawasan kilang dan meluru ke arah penyelia wanita berusia 47 tahun sebelum menetak mangsa secara bertalu-talu di bahagian kepala serta tangan.

Katanya, seorang lagi mangsa iaitu pengurus keselamatan lelaki berusia 53 tahun yang cuba membantu turut ditetak di tangan dan kini masih dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki mengamuk di kilang ditembak mati