[DIKEMASKINI] Lelaki mengamuk di kilang ditembak mati

No Image Caption
A
A
A

BAYAN LEPAS - [DIKEMASKINI] Seorang penyelia bahagian kawalan kualiti maut manakala seorang pengurus keselamatan parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian amuk yang berlaku di sebuah kilang di Bayan Baru, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan menyerang kedua-dua mangsa sebelum dia ditembak mati sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, SuperintendAn AA Anbalagan berkata, suspek yang juga pekerja di kilang berkenaan dikatakan seminggu tidak hadir bekerja dan pihaknya dimaklumkan lelaki itu telah menghantar surat peletakan jawatan yang berkuatkuasa penghujung September ini.

"Disebabkan suspek masih bekerja di kilang berkenaan dia mempunyai akses untuk masuk ke dalam kawasan kilang sebelum menyerang kedua-dua mangsa.

"Polis yang menerima maklumat kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan cuba menenangkan mangsa, selain minta dia menyerah diri namun dia bertindak lebih agresif dengan cuba menyerang anggota polis menggunakan parang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Anbalagan berkata, penyelia bahagian kawalan kualiti yang berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital manakala pengurus keselamatan yang berusia 53 kini berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati suspek mengalami kemurungan sejak kebelakangan ini dan dia dikatakan telah bekerja selama dua tahun sebagai pembantu kawalan kualiti di kilang terbabit.

Katanya, sehingga kini polis masih menyiasat motif kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.