Perbicaraan kes Isa Samad bermula 7 Oktober

Isa
Isa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad membabitkan lebih RM3 juta akan bermula 7 Oktober ini sebagaimana yang ditetapkan sebelum ini, selepas Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan.

Pendakwaan memohon penangguhan setelah ketua pendakwaan dalam kes berkenaan terlibat dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya berkata, alasan yang dinyatakan oleh pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram adalah tidak wajar.

"Walaupun mahkamah tidak mahu mempersoalkan pelantikannya, memang diketahui bahawa Datuk Seri Gopal Sri Ram kini terlibat dalam perbicaraan yang akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya November.

"Sekarang kurang dari sebulan sebelum permulaan perbicaraan yang dijadualkan, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah ini bahawa Datuk Seri Gopal Sri Ram telah dilantik untuk mengetuai pendakwaan dalam kes ini.

“Walaupun mahkamah ini tidak berhasrat untuk mempersoalkan keputusan ini, memang telah maklum bahawa Datuk Seri Gopal Sri Ram terlibat secara aktif dalam mengetuai pendakwaan beberapa kes profil tinggi lain termasuk perbicaraan kes 1MDB-Tanore yang sedang dijalankan dan akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya pertengahan November.

"Saya faham terdapat beratus-ratus TPR (timbalan pendakwa raya) di negara ini dan dalam apa jua keadaan masih ada cukup masa dari hari ini hingga 7 Oktober untuk mempersiapkan kes itu, yang saya tekankan tertuduh kali pertama dituduh pada Disember tahun lepas," kata hakim itu.

Sebelum ini, Mohd Nazlan menetapkan 7 hingga 25 Oktober untuk mendengar perbicaraan kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama