Rujuk badan terlibat sebelum dedah: Mufti Pulau Pinang

Dr Wan Salim
A
A

SHAH ALAM - Pihak yang menemui elemen negatif atau bahan meragukan dalam wang kertas disarankan supaya tidak mendedahkan penemuan tersebut ke pengetahuan umum sebelum menyampaikan maklumat berkenaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) atau mana-mana badan yang terlibat.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, dengan menggunakan kaedah sedemikian, isu tersebut dapat diselidiki dan diatasi secara senyap serta cermat untuk memastikan kesahihannya.

Menurutnya, tindakan itu dilihat lebih baik dan bijaksana daripada mendedahkannya secara langsung ke pengetahuan masyarakat di luar sana.

"Bagi saya mendedahkan hal ini secara langsung ke pengetahuan umum boleh menimbulkan keresahan dan perasaan panik dalam kalangan masyarakat.

"Bagaimanapun pendedahan telah dibuat, maka pihak berkuasa perlulah menanganinya secara berhemah dan bijaksana supaya isu ini tidak berlarutan sehingga menjurus kepada keadaan yang sukar dikawal," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pensyarah sebuah universiti bahawa ada penggunaan lemak babi dalam proses menghasilkan wang kertas negara.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga boleh menjalankan penyelidikan menyeluruh mengenai perkara ini.

Jelasnya, kemungkinan sampel yang dikatakan diperoleh daripada pekerja industri yang terlibat dengan pembuatan wang kertas itu tidak mewakili fakta yang menyeluruh.

"Justeru tidak wajar digeneralisasikan keputusan secara pasti kepada semua wang kertas yang diguna pakai di Malaysia pada masa kini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Prof Dr Zhari Ismail dari Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) mendakwa beliau mendapat maklumat wang kertas di negara ini dipercayai mengandungi lemak babi.

Menurutnya, maklumat itu diperoleh daripada pemain industri itu sendiri yang mendakwa ada menggunakan lemak babi dalam proses menghasilkan wang kertas negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak menolak mungkin ada gelatin dalam wang kertas: PPIM