X

Kindly register in order to view this article
!

Kes ketua sel ‘Wolf Pack’ dipindah ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Mahadi (kiri) sewaktu diiringi polis dari Bahagian Antipengganas (E8) di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. -Foto fail Sinar Harian
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini membenarkan kes melibatkan ketua sel ‘Wolf Pack’ pengganas Daesh, Mahadi Mamat, 34, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Jamaluddin Mat membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa raya, Mohamad Iskandar Ahmad dan Izhanuddin Alias agar semua lapan pertuduhan terhadap Mahadi dipindahkan.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Teris, Hulu Terengganu itu didakwa kerana dikatakan merancang pembunuhan ke atas empat individu berprofil tinggi dan serangan berskala besar ke atas rumah ibadat di negara ini pada minggu pertama Ramadan lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan membuat ancam serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan membuat ancaman untuk membunuh empat orang warganegara Malaysia melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’.

Tertuduh juga didakwa dengan pengetahuan telah bersetuju untuk memberi latihan dalam penggunaan senjata api kepada ahli kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ dan memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan iaitu bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

Selain itu, dia didakwa dengan niat untuk melakukan perbuatan pengganas, telah mendapatkan enam butir ‘pipe bom’ untuk melaksanakan perbuatan pengganas.

Manakala untuk pertuduhan keenam pula, Mahadi didakwa dengan niat untuk melakukan perbuatan pengganas telah mendapatkan sepucuk pistol semi automatic CZ 75 B dan 15 butir peluru jenis ‘Luger 9MM’ untuk melaksanakan perbuatan pengganas tersebut.

Pertuduhan ketujuh pula, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah merekrut beberapa orang lain untuk menyertai kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ untuk melakukan suatu perbuatan pengganas.

Tertuduh juga didakwa telah memiliki item-item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Islam.

Kesemua pertuduhan didakwa dilakukan di Kampung Teris, Hulu Terengganu kira-kira jam 5.45 petang dan 9.48 malam pada 7 Januari hingga 5 Mei lalu.

Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130J (1)(b), Seksyen 130J (1)(b), Seksyen 130F (a), Seksyen 130F (b), Seksyen 130JD (1), Seksyen 130E dan Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang diwakili oleh Muhammad Rohan Muhamad Razi daripada Rohan & Co kemudian telah memohon untuk menyerahkan dokumen bagi tujuan perbicaraan.

Sebaik sahaja selesai pertuduhan, Mahadi dibawa balik oleh polis dari Bahagian Antipengganas E8 dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh bagi menunggu sebutan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!