Bekas penasihat peribadi Dr Rozmey dihukum penjara, denda

Abdullah Sani dipenjara 15 tahun dan denda RM90,000 atas tiga pertuduhan pecah amanah sejak lima tahun lalu di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
Abdullah Sani dipenjara 15 tahun dan denda RM90,000 atas tiga pertuduhan pecah amanah sejak lima tahun lalu di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas penasihat peribadi kepada usahawan terkenal, Datuk Dr Che Rozmey Che Din dipenjara 15 tahun dan denda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah RM246,600 sejak lima tahun lalu.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdullah Sani Ismail, 64, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Abdullah Sani dihukum penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan namun mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula hari ini.

Tertuduh juga diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 24 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan difailkan manakala hukuman denda perlu diselesaikan segera.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil wang sewaan bangunan beralamat No. 22, Jalan Bayu Mutiara 1, Taman Bayu Mutiara, Bukit Mertajam, Pulau Pinang milik Che Rozmey, masing-masing berjumlah RM97,000, RM88,000 dan RM61,600.

Abdullah Sani didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di syarikat Herba Prima Marketing di Lot 70, Bandar Darulaman Jaya, Jitra antara September 2014 dan 8 Julai 2016.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Abdullah Sani dikecualikan daripada hukuman sebat atas faktor usia.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Md Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Badrol Hisham Abdullah.

Sementara, Che Rozmey ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah bersyukur keadilan berpihak kepadanya selepas menunggu sejak beberapa tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur keputusan ini secara tidak langsung membersihkan nama saya yang difitnah dengan pelbagai perkara selama ini. Walaupun tidak mungkin dapat semula wang yang hilang, sekurang-kurangnya maruah diri saya terbela,” katanya.