Amanah kekal stabil: Mohd Anuar

Mohd Anuar
Mohd Anuar
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir menegaskan parti itu kekal stabil meskipun Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) beberapa kawasan dan sayap terbatal sebelum ini.

Menurutnya, proses pemulihan giat dilaksanakan ketika ini dan tempoh untuk mengukuhkan kembali parti dijangka tidak akan mengambil masa lama.

“Amanah mengesahkan laporan sebuah portal mengenai status sebahagian kawasan-kawasan dan sayap-sayap yang terjejas dalam parti ini.

“Namun begitu, ingin ditegaskan bahawa situasi ini tidak memberi kesan atau mengganggu proses pemilihan dan penganjuran Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah pada Disember hadapan.

“Secara umumnya, kedudukan Amanah masih stabil di seluruh negara dan terus menerima keahlian baharu dengan jumlah yang tinggi setiap bulan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Anuar berkata, penganjuran Taklimat Khas Organisasi 2019 pada 21 September 2019 seperti ditularkan hanyalah bertujuan untuk menjelaskan kedudukan sebenar dan memberikan kaedah penyelesaian kepada hadirin yang terdiri daripada kalangan Ketua dan Setiausaha Kawasan serta Sayap yang terlibat.

“Segala pandangan dan kritikan hadirin telah diberi perhatian serta diterima baik kepimpinan Amanah untuk mengukuhkan parti ini.

“Berdasarkan respon hadirin, Amanah menjangkakan pemulihan ini tidak akan mengambil masa yang panjang untuk selesaikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, sebuah portal kelmarin melaporkan sebanyak 148 AGM termasuk peringkat kawasan, sayap pemuda dan wanita Amanah dibatalkan di seluruh negara kecuali Sabah.

Laporan itu juga turut menyebut, daripada jumlah itu, sebanyak 81 terbatal membabitkan AGM peringkat kawasan manakala 32 AGM lagi Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) dan 35 AGM bagi sayap pemuda parti itu.