Jerebu tidak jejas sektor pelancongan negara


Orang ramai dilihat tidak membataskan aktiviti luar walaupun dalam keadaan negara dilanda jerebu.
Orang ramai dilihat tidak membataskan aktiviti luar walaupun dalam keadaan negara dilanda jerebu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Masalah jerebu yang melanda negara ketika ini tidak memberi impak besar kepada sektor pelancongan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, walaupun jerebu memberi kesan kepada kedatangan pelancong ke negara ini, namun impaknya tidak begitu besar kerana bukan semua tempat tumpuan pelancong terjejas dengan jerebu.

"Situasi jerebu yang dijangka berlanjutan sekitar dua minggu tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong dari luar negara malah aktiviti pelancongan dalam skala yang besar.

"Ini kerana kurang daripada 10 'spots' (lokasi tumpuan pelancong) yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menara Petronas diliputi jerebu.
Menara Petronas diliputi jerebu.

Beliau ditemui selepas program International Coastal Cleanup 2019 yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) di Permatang Damar Laut dekat sini semalam.

Muhammad Bakhtiar berkata, operasi pembenihan awan dan pemantauan kebakaran terbuka yang berterusan dilihat mampu mengurangkan masalah jerebu.

Sementara itu, mengulas mengenai program pembersihan pantai itu, beliau menyeru semua pihak supaya mengambil tanggungjawab dan memainkan peranan dalam menangani masalah pembuangan sisa plastik di pesisiran pantai dan laut yang memberi impak negatif terhadap alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

“Pantai merupakan sesuatu yang kita harus hargai. Kita harus memelihara dan lindungi. Sangat penting untuk semua mempunyai kesedaran untuk menjaga alam sekitar,” katanya.

Program tersebut disertai 200 staf dan mahasiswa Pusat Pengajian Pengurusan USM yang menjalankan kerja pembersihan pantai sepanjang 1.1 kilometer di Permatang Damar Laut hari ini.

Sebanyak 462.53 kilogram sampah merangkumi sisa pantai, plastik, kotak dan puntung rokok berjaya dikutip sepanjang empat jam program itu berlangsung. - Bernama