Peruntukan pembangunan Islam di NS meningkat hingga RM20 juta

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

KUALA PILAH - Peruntukan untuk pembangunan Islam di Negeri Sembilan dijangka meningkat sebanyak RM3 juta menjadikan keseluruhannya RM20 juta pada tahun hadapan berbanding lebih RM17 juta pada tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam bajet negeri tahun hadapan sebagai komitmen serius daripada kerajaan negeri.

Ketika ini terdapat 297 buah masjid dan 42 buah surau yang boleh mendirikan solat Jumaat di negeri ini.

“Dengan peruntukan yang besar ini, kerajaan negeri berharap ia akan menyumbang kepada pengukuhan umat Islam,” katanya ketika berucap di hadapan ratusan hadirin pada majlis Pemimpin Mesra Rakyat anjuran Masjid Tunku Aliff Hussein Saifuddin Al-Amin di sini hari ini.

Aminuddin turut menegaskan bahawa kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk menyuburkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini dan menjadi amanah di pihak kerajaan untuk menyantuni 615,000 umat Islam di Negeri Sembilan.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, kita berhadapan dengan cabaran perpaduan terutama dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

"Ada yang berkisar tentang perselisihan politik, prejudis dan prasangka. Apa sahaja isu yang berlaku cuba diseret kepada perdebatan, tiada keuntungan kepada umat Islam.

“Bertitik tolak daripada keperluan itu, maka usaha mengumpul dan menyatukan umat melalui masjid dan aktivitinya perlu dilaksanakan secara lebih tersusun di semua peringkat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: