Cradle Fund: Saksi kelima nafi punca saksi penting gagal dikesan

Saksi kelima, Korperal Jamaliah Osman (kanan) dan saksi keenam, Sarjan Shafie Abd Aziz (kiri) ketika hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Saksi kelima, Korperal Jamaliah Osman (kanan) dan saksi keenam, Sarjan Shafie Abd Aziz (kiri) ketika hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang anggota polis menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tindakannya yang tidak mengambil butiran penting individu yang membuat panggilan kecemasan melaporkan kebakaran rumah, menyebabkan seorang saksi penting bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan gagal dikesan.

Saksi kelima pendakwaan, Koperal Jamaliah Osman, 59, yang bertugas di Pusat Kawalan Daerah (C41) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berkata, beliau menerima panggilan kecemasan itu daripada individu bernama Chung Shan Hui pada pukul 12.29 tengah hari 14 Jun 2018.

Beliau berkata, pemanggil itu melaporkan terdapat kebakaran rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara sebelum beliau mengarahkan anggota peronda yang berada di kawasan berhampiran untuk ke tempat kejadian.

Beliau bagaimanapun tidak mengambil butiran lanjut seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan pemanggil kerana merasakan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Ini kerana di dalam sistem panggilan kecemasan MERS 999 di dalam komputer di hadapan saya sudah tertulis nama pemanggil dan nombor telefon bimbit yang digunakan untuk membuat panggilan kecemasan itu.

"...dan jika perlu pegawai penyiasat hanya perlu mengesan kembali nombor telefon bimbit itu untuk mencari pemanggil dan pegawai penyiasat kami sangat profesional," katanya ketika menjawab soalan peguam, L S Leonard semasa pemeriksaan balas pada perbicaraan kes pembunuhan itu di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di sini hari ini.

Terdahulu, Leonard menyoal Jamaliah sebab beliau tidak mengambil butiran penting pemanggil seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan pemanggil sebelum mematikan panggilan dan adakah beliau bersetuju bahawa disebabkan tidak berbuat demikian seorang saksi penting gagal dikesan.

Jamaliah berkata, sepanjang perkhidmatannya di bilik kawalan berkenaan, kebanyakan pemanggil yang membuat panggilan kecemasan enggan memberikan maklumat peribadi ketika diminta berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kala ada yang memarahi saya apabila saya minta maklumat peribadi mereka, lagipun bilik kawalan menerima banyak panggilan kecemasan setiap hari," katanya.

Balu Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Pertuduhan mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. - Bernama