You ingat you besar sangat ka?

Mohamad Zainal Abdullah
A
A

PARIT – Padah berkelakuan tidak senonoh akibat mabuk, seorang kontraktor ladang sawit ditahan selepas bertindak agresif di Balai Polis Parit, malam tadi.

Kejadian pada jam 12.10 tengah malam itu berlaku di hadapan kaunter pertanyaan balai melibatkan dua anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal yang ketika itu sedang bertugas.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki berusia 35 tahun berkenaan bukan sahaja meludah dalam balai, malah bertindak menyimbah air minuman yang dipegangnya kepada seorang anggota.

Menurutnya, meskipun ditenangkan, lelaki terbabit tetap cuba membuat provokasi secara fizikal serta mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur perkauman.

“Kejadian berlaku ketika lelaki itu datang ke balai dengan memandu kereta pikap jenis Nissan Navara untuk membuat laporan berkenaan kehilangan wang simpanan berjumlah RM5,000.

“Bagaimanapun, dia bercakap dengan nada tinggi dan mengeluarkan kata kesat seperti 'You ingat you besar sangat ka? You tak tau sapa saya' sebanyak lebih tiga kali kepada anggota bertugas ketika diminta mengalihkan kenderaannya yang menghalang laluan.

“Meskipun diminta bersabar, lelaki terbabit cuba membuat provokasi secara fizikal kepada anggota dengan meludah dalam balai dan mencurah air ke atas anggota,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, lelaki terbabit kini direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 atas kesalahan melakukan kekecohan.

“Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 510 akta sama kerana berkelakuan mabuk di tempat awam,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia