Bicara kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izette mula 2 Januari depan

Bung Moktar, Zizie Izette
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad yang didakwa atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad, akan bermula 2 Januari 2020.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menetapkan 23 hari bermula 2, 3, 10,17, 24, 29 dan 30 Januari tahun depan untuk perbicaraan.

“Perbicaraan juga ditetapkan pada 7, 14, 21 Februari; 16 hingga 20 Mac; 23 hingga 26 Mac ; 30, 31 Mac dan 10, 17 April 2020.

"Saya berharap pihak pendakwaan akan menyerahkan semua dokumen dan penyataan saksi kepada pasukan pembelaan pada pertengahan Disember," katanya semasa sebutan kes itu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi semasa perbicaraan dan pihaknya juga selesai menyerahkan kesemua dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Peguam, Datuk K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, 41, dan peguam M Athimulan bertindak bagi pihak Bung Moktar, 60, yang nama sebenarnya Moktar Radin masing-masing mengesahkan kesemua dokumen telah diterima.

Pada 9 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah Bung Moktar dan isterinya yang merupakan seorang pelakon ke Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Mei lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama