'Perobohan tiada SOP, hanya ikut arahan peringkat atas'

Jawatankuasa bertindak nafi perobohan ikut SOP. Gambar kecil: Azroy
Jawatankuasa bertindak nafi perobohan ikut SOP. Gambar kecil: Azroy
A
A
A

SUNGAI BULOH - Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras menafikan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman bahawa proses perobohan rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengerusinya, Azroy Abdul Manaf mendakwa, pegawai yang ditugaskan ketika operasi tidak mengemukakan sebarang dokumen hitam putih berhubung pelaksanaan itu.

Azroy berkata, pihak terlibat menjelaskan bahawa mereka hanya menerima arahan daripada peringkat atas untuk melakukan perobohan terhadap rumah-rumah terlibat.

"Saya selaku pengerusi membidas sekeras-kerasnya bahawa operasi ini mengikut SOP kerana langsung tiada hitam putih berhubung perkara ini dan hanya melalui cakap mulut sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin memaklumkan operasi itu dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Katanya, pelaksanaan perobohan itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat menerima notis pertama sejak tahun 2015.

Azroy memberitahu, penduduk tidak mempunyai masalah untuk berpindah keluar sejak 2015 namun mereka hanya berpegang kepada janji ADUN kawasan berkenaan yang meminta supaya tidak berpindah keluar.

"Pada 2016, Mohd Khairuddin sendiri membantah dan meminta penduduk terus menetap di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azroy juga menafikan kenyataan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bahawa penduduk ditawarkan pampasan untuk berpindah.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang pampasan diterima penduduk dan mereka hanya meminta lanjutan tempoh untuk berpindah keluar sehingga akhir tahun ini.

Semalam Amirudin ketika ditanya mengenai perobohan itu berkata, pihaknya telah menawarkan segalanya untuk penduduk terlibat sebelum ini.

"Berkaitan isu di Paya Jaras, kita dah tawarkan rumah, kita tawarkan kos perpindahan dan sebagainya dan ada perbincangan yang dilakukan,"katanya.