Seorang maut, kemalangan empat kenderaan

Gambar kiri: Bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap. Gambar kanan: Keadaan kenderaan kemalangan, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba
Gambar kiri: Bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap. Gambar kanan: Keadaan kenderaan kemalangan, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu kereta maut dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kulai - Kota Tinggi - Ulu Tebrau, Senai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Rahim Rauf, 46, yang memandu kereta jenis Proton Iswara meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan turut menyaksikan dua penumpang kereta itu masing-masing isteri mangsa berusia 38 tahun, cedera di pergelangan tangan dan anak mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia dua tahun, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Suprintendan Tok Beng Yeow berkata, kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu adalah kereta jenis Toyota Harrier, Perodua Kancil dan lori jenis Hino.

Menurutnya, kemalangan disyaki berpunca apabila kereta Toyota Harrier hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan mangsa dan dua lagi kereta yang berada di laluan bertentangan.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Toyota Harrier bersama seorang penumpang dari arah Ulu Tiram menghala ke Kota Tinggi masuk ke laluan bertentangan.

"Susulan itu, mangsa bersama dua penumpang yang berada di laluan tersebut gagal mengelak lalu berlakunya perlanggaran," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beng Yeow berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu Perodua Iswara itu tersepit dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa yang tersepit dikeluarkan bomba dan dibawa ke Hospital Temenggong Seri maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini, untuk bedah siasat.

"Bedah siasat sudah dijalankan dan sebab kematian mangsa adalah akibat polytrauma.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.