Jumpa PM di Sabah bincang kerjasama bangun negara: Mohd Shafie

Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara yang dibincangkan ketika pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini baru-baru ini berkenaan kerjasama kedua-dua pihak untuk membangunkan negara.

Beliau berkata untuk membangunkan negara memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah perlu memainkan peranan dalam konteks negeri itu.

“Kita sedar bahawa kerjasama di antara kerajaan pusat dan negeri penting kerana Sabah mempunyai sumber yang boleh kita manfaatkan bersama dan ia adalah antara yang kita bincangkan dalam perjumpaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Domestik- Cuti-Cuti Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perkara yang dibincangkan semasa pertemuannya bersama perdana menteri di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini Selasa lepas.

Ketika diminta mengulas sama ada perbincangan itu ada menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau berkata, perkara itu dalam proses pelaksanaan dan ada perkara yang telah dilaksanakan seperti kerajaan pusat telah memberikan kuasa sempadan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri khususnya dari segi pelancongan.

“Namun keselamatan Pulau Sipadan dan Ligitan masih di bawah Majlis Keselamatan Negara yang dilaksanakan pihak berkuasa seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom),” katanya.

Pada masa yang sama, Mohd Shafie berkata, perbincangan mengenai royalti minyak dan 40 peratus pendapatan hasil bumi negeri ini masih dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai keadaan jerebu di Sabah, Mohd Shafie berkata, keadaan di Sabah masih baik dan tiada yang terjejas seperti penurunan kedatangan pelancong atau penutupan sekolah.

“Namun kita tidak ambil mudah tentang keselamatan...sekiranya keadaan cuaca buruk akibat jerebu kita akan mengadakan perbincangan dengan jabatan berkenaan dan akan melaksanakan beberapa inisiatif seperti pembenihan awan,” katanya.

Mengenai lawatannya ke Kalimantan Timur, Utara dan Tarakan yang dijadualkan hujung bulan ini, Mohd Shafie berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan kerjasama kedua-dua pihak dalam pelbagai konteks seperti kebudayaan, ekonomi, pelancongan dan keselamatan.

“Sekiranya keadaan cuaca baik saya akan melawat ke kawasan berkenaan hujung bulan ini sehingga 2 November dan banyak perkara yang kita boleh bincangkan semasa lawatan itu seperti masalah pekerja Indonesia di Sabah yang tidak mempunyai permit,” katanya. - Bernama