Bendera JBPM berkibar di pergunungan Himalaya

Mohd Fakhrul yang merupakan jurulatih di ABPM Wilayah Tengah berjaya mengulangi sejarah dilakukan 10 tahun lalu.
Mohd Fakhrul yang merupakan jurulatih di ABPM Wilayah Tengah berjaya mengulangi sejarah dilakukan 10 tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengulangi sejarah 10 tahun lalu apabila bendera jabatan itu berjaya dikibarkan sekali lagi di Kem Induk Everest (EBC) dan Gunung Kallapathar, Nepal pada ketinggian 5,550 meter dari paras laut.

Kejayaan tersebut dilakukan Pegawai Bomba, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang bertugas di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu pada 11 September lalu.

Mohd Fakhrul berkata, dia mengetuai ekspedisi ke pergunungan Himalaya itu bersama 26 pendaki lain termasuk pelakon, Azhan Rani yang terkenal dengan panggilan Ustaz Hamadi.

Menurutnya, kumpulan pendaki dan pengamal media yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk dari Brunei ini turut mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi di puncak berkenaan.

"Ekspedisi bermula 31 Ogos lalu bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan tamat pada Hari Malaysia iaitu 16 September.

"Pendakian berdepan cabaran cuaca sejuk dengan suhu mencecah negatif 18 darjah selsius selain kadar oksigen nipis di altitud tinggi ketika menuju puncak.

"Ekspedisi 10 tahun lalu diilhamkan Komandan ABPM Wilayah Tengah ketika itu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Norhisham Mohamad yang kini dikendalikan PKPjB Md Ali Ismail," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Fakhrul berkata, dia akan meneruskan aktiviti pendakian dalam misi mencari dana untuk program Pendakian Amal '7 Summits' Tabung Kebajikan Anggota Bomba di tujuh gunung tertinggi di tujuh benua termasuk Gunung Everest.

Artikel Berkaitan: