X

Kindly register in order to view this article
!

Jerebu: KBS nasihat penganjur ikut piawaian MSN, ISN

Jarak penglihatan sekitar ibu kota Kuala Lumpur terbatas ekoran jerebu dengan IPU mencatatkan bacaan 143 iaitu tidak sihat ketika gambar ini dirakam pada jam 10 pagi tadi. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Agensi kerajaan atau mana-mana penganjur acara sukan yang bercadang untuk mengadakan aktiviti sukan dalam tempoh terdekat dinasihatkan untuk mematuhi piawaian berkaitan jerebu yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagaimanapun dasar kementeriannya menyerahkan keputusan berhubung sebarang penganjuran acara sukan kepada pihak berkenaan.

"Dasar kementerian ialah kita beri hak kepada agensi, jabatan atau penganjur acara sukan itu sendiri untuk buat keputusan tetapi nasihat daripada kita jelas iaitu ikut piawaian yang disampai oleh MSN dan ISN," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA Johor) di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh Malaysia bagi memastikan atlet negara tidak terjejas dengan keadaan jerebu yang boleh membahayakan kesihatan mereka.

Katanya, jika keadaan jerebu tidak menunjukkan penurunan menjelang penganjuran Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19) pada Oktober ini, pihaknya akan memikirkan alternatif lain untuk menjayakan program berkenaan.

"Masih terlalu awal untuk kita buat sebarang pengumuman bagi program Oktober nanti. Kita memang buat pemantauan mengenai keadaan semasa jerebu dan apa yang penting kita akan bersedia dengan pelan lain jika keadaan tidak mengizinkan," katanya.

Kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia menunjukkan penurunan dalam bacaan IPU setakat jam12 tengahari ini namun enam kawasan di Sarawak terus menyaksikan peningkatan dalam bacaan IPU dengan Mukah menjadi lokasi terbaharu mencatatkan IPU sangat tidak sihat.

Bagaimanapun, di Semenanjung bilangan kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat dengan IPU melebihi 101 meningkat kepada 39 hari ini berbanding 35 semalam.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. -Bernama