Agrofest Perak sasar nilai jualan RM5 juta

Abdul Yunus (tiga dari kanan) pada sidang media Agrofest Perak 2019 hari ini.
Abdul Yunus (tiga dari kanan) pada sidang media Agrofest Perak 2019 hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyasarkan nilai jualan sebanyak RM5 juta sempena Agrofest Perak 2019 yang berlangsung di pekarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada 26 hingga 29 September ini.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, penyertaan kali ini adalah lebih besar melibatkan 130 usahawan meliputi jualan produk usahawan industri asas tani, jualan terus dari ladang, florikultur dan kenderasaji.

"Sebelum ini kita berjaya mencapai nilai jualan RM3.8 juta. Dengan penambahan usahawan pelbagai kluster, kita sasarkan peningkatan sehingga RM5 juta dengan jangkaan kehadiran seramai 500,000 pengunjung," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, ekspo pertanian terbesar dianjurkan secara dwi tahunan kali ini bertemakan Kelestarian Makanan Jaminan Masa Depan bertepatan dengan polisi kerajaan memperkenalkan Dasar Agromakanan Negara.

Menurutnya, bagi memastikan setiap subsektor pertanian melibatkan diri, sebanyak tujuh kluster pameran disediakan iaitu laman pertanian, penternakan, perikanan, teknologi dan inovasi, kraftangan, agrotourism serta pameran agensi.

"Ekspo kali ini juga lebih istimewa apabila turut menyediakan kluster Empayar Makanan menampilkan menu-menu makanan popular Perak sepertimana kita sediakan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang lalu," katanya.

Abdul Yunus menambah, selain aktiviti pameran dan jualan, Agrofest Perak yang berlangsung selama empat hari juga menyediakan pelbagai acara menarik seperti seminar, pertandingan, demonstrasi, permainan dan persembahan pentas.

Menurutnya, sebagai tanda penghargaan kepada petani, penternak dan nelayan, kerajaan negeri akan menyampaikan anugerah dalam 13 kategori pertandingan pada hari perasmian yang dijangkakan 28 September ini.

Artikel Berkaitan:

"Anugerah berkenaan adalah Peladang Jaya, Peladang Nita Jaya, Nelayan Jaya, Penternak Jaya, Usahawan Ikan Jaya, Agroprenuer Muda Jaya dan Unit Peladang Jaya.

"Turut disampaikan Kumpulan Tani Komersial Jaya, Pertubuhan Peladang Kawasan Jaya, Persatuan Nelayan Kawasan Jaya, Anugerah Inovasi Pertanian dan Insdustri Asas Tani Jaya, Anugerah Pemasar Tani Jaya dan Kelompok Padang Ragut," katanya.