Wanita buka klinik tanpa lesen didenda RM50,000

No Image Caption
A
A
A

RAUB - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang wanita yang bekerja sendiri menjelaskan denda RM50,000 selepas mengaku bersalah menjalankan perkhidmatan memasang pendakap gigi tanpa lesen.

Hakim Mazelan Jamaludin juga memerintahkan Nurul Rohaizaz Farhana Syuhada Zazli, 25, dipenjarakan selama 10 bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.55 petang, 22 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Bentong Makmur, Bentong dekat sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa menyediakan perkhidmatan klinik swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menawarkan perkhidmatan tersebut yang merupakan amalan pergigian.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berbaju kurung hitam kelihatan sebak semasa merayu kepada mahkamah memberikan hukuman paling minimum kerana mempunyai kemampuan terhad untuk membayar denda.

"Saya ialah anak sulung daripada tujuh adik-beradik dengan yang lain semuanya masih belajar manakala ayah menghidap pelbagai penyakit," katanya.

Pihak pendakwa yang diwakili Pegawai Pendakwa Kementerian (KKM), Dr Abu Bakar Ismail dan Norzaizeli Abu Samah bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh yang bukan doktor bertauliah boleh membahayakan nyawa orang awam.

Artikel Berkaitan:

Tindakan tertuduh juga mencalarkan imej pengamal perubatan dan pergigian secara khasnya serta KKM secara amnya," katanya. - Bernama