Penjenayah dipercayai guna belerang letupkan kedai emas

pdrm
pdrm
A
A
A

KOTA KINABALU - Satu letupan berlaku di sebuah kedai emas di Segama dekat sini awal pagi tadi disyaki cubaan pecah masuk ke premis tersebut, namun tiada barang kemas dilaporkan hilang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, berdasarkan pemeriksaan polis di lokasi kejadian, letupan itu dipercayai berpunca daripada bahan belerang digunakan penjenayah terbabit.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, tiada barang kemas dilaporkan hilang berikutan pemilik kedai tidak menyimpan barang kemas berkenaan di premis pada waktu malam.

"Jadi, dalam hal ini, tidak ada kerugian barang kemas...kerugian hanya melibatkan kerosakan pada pintu premis sahaja. Tiada sebarang kecederaan dialami dan polis masih meneruskan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita pada program Hari Keluarga Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai letupan tersebut daripada orang awam pada jam 2.45 pagi sebelum sepasukan Unit Pemusnah Bom diarahkan membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.

"Polis menerima laporan daripada orang awam mengatakan terdengar bunyi letupan kuat berlaku di pusat bandar. Sebaik tiba di lokasi kejadian, polis mendapati letupan itu berlaku di sebuah kedai emas terletak di tingkat bawah bangunan tiga tingkat.

"Unit Pemusnah Bom telah dipanggil untuk membuat pemeriksaan di premis terbabit dan hasil siasatan awal mendapati kesan letupan itu menyebabkan jeriji pintu, bahagian dalam dan luar kedai terbabit musnah kesan letupan kuat itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut polis mendapati tiada barang kemas dilaporkan hilang dan polis mengesyaki ini adalah cubaan pecah masuk premis terbabit. Motif lain sedang disiasat," katanya dan menambah pemilik kedai emas itu kini berada di luar negeri dan polis mengambil keterangan lanjut daripada anaknya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Bahan Letupan 1957, katanya. - Bernama