Bomba dapat 149 motosikal, kenderaan utiliti bernilai RM16.2j

Mohammad (empat dari kanan) melihat motosikal jenis RIM diterima JBPM sambil diperhatikan Mohammad Hamdan (kanan) pada majlis penyerahan RIM dan Toyota Hilux di Pusat Kejuruteraan Jentera JBPM di Salak Tinggi, Sepang hari ini
Mohammad (empat dari kanan) melihat motosikal jenis RIM diterima JBPM sambil diperhatikan Mohammad Hamdan (kanan) pada majlis penyerahan RIM dan Toyota Hilux di Pusat Kejuruteraan Jentera JBPM di Salak Tinggi, Sepang hari ini
A
A
A

SEPANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) hari ini secara rasmi menerima sebanyak 159 unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan kenderaan utiliti jenis pikap Toyota Hilux bernilai RM16.2 juta untuk mempertingkatkan operasi kebombaan dan kerja menyelamat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mantek berkata, mengikut pecahan jabatan itu memperoleh sebanyak 99 unit RIM berharga RM10.38 juta dan 50 unit Toyota Hilux bernilai RM5.83 juta.

Menurutnya, perolehan RIM adalah satu usaha strategik penggantian secara berperingkat bagi motosikal sedia ada yang digunakan oleh unit berkenaan dalam menangani kes kecemasan.

"Perolehan baru jentera dan kenderaan utiliti ini amat penting bagi melengkapkan kesiapsiagaan dan meningkatkan lagi keupayaan JBPM bagi mencapai masa bertindak atau 'response time' semasa operasi pemadaman dan penyelamat.

"Kesemua 99 unit RIM dari model Versys 650 ABS ini dibekalkan oleh Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd dan turut dilengkapi dengan peralatan pemadaman, penyelamat dan perubatan iaitu 'moto fire', 'moto rescue' serta 'moto medic'," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kenderaan itu yang turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid di Pusat Kejuruteraan Jentera JBPM di Salak Tinggi di sini.

Mohammad berkata, kenderaan RIM bertindak sebagai 'responder' pertama bagi mempercepatkan masa bertindak ke lokasi kecemasan terutama di kawasan berkepadatan tinggi.

Katanya, perolehan pikap model Toyota Hilux 2.4G Auto yang dibekalkan UMW Toyota Motors Sdn Bhd itu berfungsi sebagai kenderaan sokongan kepada pelbagai jenis operasi kebombaan dan penyelamat.

Artikel Berkaitan:

"Perolehan baru ini juga merupakan sebahagian daripada program penggantian kenderaan JBPM yang berstatus tidak ekonomi untuk dibaiki atau 'beyond economic repair' berdasarkan peruntukan diluluskan kerajaan.

"Buat masa ini, penggantian melibatkan 120 unit kenderaan RIM jenis Honda ST1300 dan Honda VFR800 serta 500 unit kenderaan pikap jenis Mitshubishi Pajero dan Perodua Kembara," katanya.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan itu ditempatkan di balai seluruh negara dan berada dalam keadaan usang kerana sudah berusia lebih 10 tahun.

"Dengan mengambil kira sebanyak 290 balai bomba dan penyelamat yang telah beroperasi, JPBM negeri, ibu pejabat serta tambahan 45 lagi balai yang bakal siap pada 2020, keperluan sebenar JBPM adalah sebanyak 468 unit RIM dan 51 unit kenderaan utiliti.

"Bagi memenuhi keperluan ini, kementerian akan memohon peruntukan perolehan tambahan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan jentera dan kenderaan JBPM untuk tahun ini ditambah sebanyak RM8 juta lagi menjadikan keseluruhan peruntukan yang diberikan berjumlah RM26 juta.

"Untuk peringkat awal, kementerian menyediakan peruntukan untuk tujuan itu sebanyak RM18 juta tapi menyedari keperluan semasa, kita bersetuju untuk tambah peruntukan sebanyak RM8 juta lagi," katanya.