Snuker penyelamat kontinjen negara hari kesembilan

Chuan Leong raikan kejayaan selepas tewaskan pemain Thailand dalam acara akhir Snooker lelaki di AEON Mall Sen Sok City pada Ahad. - Foto Bernama
Chuan Leong raikan kejayaan selepas tewaskan pemain Thailand dalam acara akhir Snooker lelaki di AEON Mall Sen Sok City pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KEM snuker muncul penyelamat buat kontinjen negara apabila menyumbangkan satu-satunya pingat emas pada hari kesembilan temasya Sukan SEA 2023 di Phnom Penh pada Ahad.

Kejayaan Thor Chuan Leong menghadiahkan emas ke-29 negara dalam acara snuker perseorangan lelaki memberi sedikit kelegaan kepada kontinjen negara yang buntu mencari kilauan emas sejak Sabtu.

Namun, pencapaian Chuan Leong itu tidak mengubah kedudukan Kontinjen Malaysia apabila kekal berada di kedudukan ketujuh dalam carta pungutan pingat dengan meraih 29 emas, 41 perak dan 79 gangsa.

Kedudukan itu pastinya sukar bagi kem Malaysia untuk memperbaiki posisi dalam pungutan pingat apabila Singapura yang berada di tempat keenam sudah mengutip 42 emas, 36 perak dan 55 gangsa sedangkan temasya dwitahunan itu hanya berbaki tiga hari lagi sebelum melabuhkan tirai Rabu ini (17 Mei).

Malah, peluang kontinjen negara untuk mencapai sasaran 40 pingat emas juga agak tipis berikutan acara yang menjadi lubuk emas Malaysia seperti terjun, olahraga, karate dan silat sudah pun berakhir.

Tumpuan kem negara bagi menambah pingat emas kini terarah kepada hoki, badminton dan sepak takraw.

Pada Isnin, skuad sepak takraw berpeluang menambah pingat emas buat negara apabila dijadual berdepan Indonesia dalam final acara double lelaki.

Selepas tamat saingan hari kesembilan, Vietnam kekal selaku pendahulu dalam carta pungutan pingat dengan mengutip 107 emas, 90 perak dan 94 gangsa, diikuti Thailand 90-67-88, manakala Indonesia memintas Kemboja di tempat ketiga dengan 67-61-80.

Tuan rumah berada di tempat keempat dengan kutipan 65-61-103 sementara tempat kelima dihuni Filipina yang mengutip 46-72-86. - Bernama