Jerebu bertambah buruk: JAS

Tinjauan dari udara kebakaran hutan seluas 25 hektar yang berlaku di Kampung STC, Sri Aman sejak tiga hari lalu. -Foto Bernama
Tinjauan dari udara kebakaran hutan seluas 25 hektar yang berlaku di Kampung STC, Sri Aman sejak tiga hari lalu. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kualiti udara dalam negara hari ini secara keseluruhannya semakin menurun dengan keadaan jerebu bertambah buruk, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan pada jam 11 pagi ini menunjukkan lapan stesen mencatatkan IPU sangat tidak sihat, 35 stesen IPU tahap tidak sihat dan 24 stesen mencatatkan kualiti udara sederhana.

"Ini adalah disebabkan oleh jerebu merentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan perladangan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia,” menurut kenyataan JAS.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Lapan stesen yang mencatatkan IPU sangat tidak sihat ialah Minden, Pulau Pinang (208); Balik Pulau, Pulau Pinang (232), Batu Muda, Kuala Lumpur (203), Petaling Jaya, Selangor (206), Shah Alam, Selangor (219), Nilai, Negeri Sembilan (207), Sri Aman, Sarawak (232) dan Johan Setia, Klang (257).

Sri Aman menunjukkan bacaan IPU pada tahap bahaya semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu sederhana hingga tebal di beberapa kawasan: MetMalaysia

Menurut JAS, satu kebakaran hutan belukar dilaporkan berlaku di Kampung STC Sri Aman, Jalan Tisak Betong dan Jalan Ketajau Sri Aman yang turut menyumbang kepada bacaan IPU bahaya bermula jam 3 pagi pada 17 Sept sehingga jam 2 pagi 18 September di samping jerebu merentas sempadan dari kawasan Kalimantan, Indonesia.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan pemadaman sedang giat dilakukan oleh pihak bomba di kawasan-kawasan berkenaan," kata JAS.

JAS berkata kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, bahagian barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan, Sabah.

Laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, menunjukkan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan 132 titik panas di Sumatera, 386 titik panas di Kalimantan dan 18 titik panas di Malaysia iaitu di Johor (satu) dan Sarawak (17).

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC semalam menunjukkan rantau selatan ASEAN secara amnya dalam keadaan kering, di mana titik panas di Riau, Jambi dan Sumatra Selatan berterusan mengeluarkan asap jerebu sederhana sehingga tebal dan memberi kesan jerebu di pantai barat, selatan dan tengah Semenanjung Malaysia.

Di Kalimantan pula, asap jerebu sederhana sehingga tebal juga didapati berterusan daripada titik panas di bahagian Kalimantan selatan, timur, barat dan tengah.

"Sebahagian daripada asap jerebu ini telah ditiup oleh angin mengarah ke utara dan memberi kesan kepada selatan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut kepada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat," katanya. - Bernama