Multilateralisme kini terancam, kata Mahathir

Dr Mahathir (kanan) menerima buku Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu daripada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah selepas melancarkan kerangka dasar luar tersebut di Putrajaya di sini hari ini. - Foto Bernama
Dr Mahathir (kanan) menerima buku Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu daripada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah selepas melancarkan kerangka dasar luar tersebut di Putrajaya di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia amat bimbang dengan perkembangan yang berlaku di seluruh dunia kini di mana trend yang kelihatan adalah negara-negara kuat mengenakan tindakan secara unilateral (sehala) terhadap orang lain, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, perkembangan sedemikian memberi ancaman kepada multilateralisme.

“Multilateralisme kini terancam. Kita lihat negara-negara kuat secara unilateral memaksakan kehendak mereka ke atas orang lain. Malaysia terlalu bimbang dengan perkembangan ini,” katanya ketika melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di sini hari ini.

Memberikan contoh perkembangan di Palestin dan Jammu-Kashmir, Dr Mahathir berkata, sesetengah negara secara terang-terangan mencabuli perjanjian antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau menarik perhatian bahawa trend serupa juga dapat diperhatikan dalam bidang perdagangan dan ekonomi di mana negara-negara kuat mengenakan sekatan-sekatan secara sehala, tidak menghormati perjanjian perdagangan dan terang-terangan tidak mempedulikan kerangka pelbagai hala.

Beliau berkata, sekatan-sekatan ini memberi kesan bukan sahaja kepada negara tertentu yang disasarkan tetapi negara-negara lain juga.

"Tiada kesaksamaan di sini. Yang kaya dan kuat akan mengambil apa sahaja yang mereka mahu tetapi yang miskin dan lemah terpaksa berserah,” katanya.

Oleh sebab itu, katanya, Malaysia akan terus menyuarakan pandangannya dan jika perlu, menyatakan bantahan-bantahannya terhadap ketidakadilan, penindasan dan jenayah-jenayah lain terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh mana-mana negara.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia juga terpaksa berserah tetapi ia akan dilakukan dengan menyatakan bantahan secara terbuka," katanya. - Bernama