MB Selangor sokong perancangan bina terminal bas di Seksyen 13

Amirudin (tiga dari kiri) menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian Terminal 17 hari ini.
Amirudin (tiga dari kiri) menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian Terminal 17 hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyokong perancangan untuk membina sebuah terminal bas di Seksyen 13 susulan daripada kerancakan pembangunan di kawasan itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata melalui pelaksanaan itu, Seksyen 13 juga berpotensi untuk menjadi sebuah pusat pengangkutan menerusi Perancangan Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan pembinaan terminal baharu itu semestinya memerlukan perbincangan dan diskusi lebih menyeluruh bersama agensi serta jabatan berkaitan.

"Saya menyokong penuh sekiranya ada perancangan untuk membina terminal bas di Seksyen 13 memandangkan kawasan itu juga turut mempunyai beberapa institusi pengajian dan kerancakan pembangunan di sana,"katanya Majlis Perasmian Terminal Bas Seksyen 17 dan Pelancaran Laluan Bas Smart Selangor S04 Bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini.

Mengulas mengenai pelancaran itu, Amirudin berkata tambahan laluan berkenaan yang memasuki kampus UiTM Shah Alam dapat meringankan beban terutamanya pelajar yang terpaksa mengikat perut berikutan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.

Beliau berkata penambahan laluan berkenaan dilihat sebagai satu inisiatif yang baik dan bertepatan dalam membantu golongan pelajar serta menepati kriteria laluan.

"Antara kriteria laluan adalah bas tersebut perlu mengutamakan laluan kawasan tumpuan pembangunan dan perumahan padat serta hubungan dengan sistem pengangkutan lain,"katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kemudahan Terminal 17 akan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengangkutan awam sekali gus mengangkat imej bandaraya Shah Alam di mata masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, terminal ini turut dilengkapi dengan Terminal Managemeny System (TMS) seperti mana yang digunapakai di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Penang Sentral, Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan KLIA 2.

"Antara kelebihan TMS adalah bebas ulat tiket iaitu tiada penjualan tiket secara haram, jadual pelepasan tiket secara haram, jadual pelepasan dan ketibaan bas disusun serta dikemaskini bagi memberi keselesaan kepada pengguna,"katanya.