Bicara kes Ku Nan bermula esok

A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan bermula esok di Mahkamah Tinggi di sini selepas pihak pendakwaan bersedia dengan empat atau lima saksi.

Mengikut senarai kes di mahkamah, perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada jam 9 pagi dan Jumaat.

Pada 15 November lalu, Tengku Adnan, 69, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail di sini pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Ogos lalu, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes rasuah Tengku Adnan dan Eng Boon dibicarakan bersama.

Bagaimanapun kelmarin, Eng Boon, 71, didenda RM1.5 juta oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta di tempat dan tarikh sama.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong dan pihak pendakwaan menutup kesnya selepas 12 hari perbicaraan dengan 23 saksi dipanggil memberi keterangan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan itu menetapkan 4 dan 11 Oktober depan untuk kedua-dua pihak berhujah. - Bernama