LHDNM tawar program khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM (Pematuhan), Datuk Abdul Manap Dim
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) memperkenalkan Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela bagi melakukan reformasi percukaian untuk menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan serta meningkatkan kutipan cukai untuk pembangunan negara.

Pembayar cukai berpeluang melakukan pengakuan secara sukarela dengan cara mudah dan pengenaan penalti yang minimum.

Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela diperkenalkan menerusi pembentangan Bajet 2019 pada 2 November 2018 dan berkuat kuasa serta merta bermula 3 November 2018 sehingga 30 September 2019.

Program itu merangkumi melaporkan pendapatan yang belum/kurang dilaporkan, perbelanjaan terlebih tuntut/tidak dibenarkan dan pelepasan/potongan/rebat terlebih tuntut; melaporkan keuntungan pelupusan aset (harta tanah dan saham dalam syarikat harta tanah); dan penyeteman surat cara yang belum disetem.

Selain Malaysia, program seperti ini turut dilaksanakan di beberapa negara lain antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun, Singapura dan Indonesia.

Berikut penjelasan lanjut mengenai program itu oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM (Pematuhan), Datuk Abdul Manap Dim.

Siapa yang layak?

ABDUL MANAP: Pembayar cukai yang layak membuat pengakuan sukarela dalam program khas itu adalah mereka yang tidak pernah berdaftar dengan LHDNM, pembayar cukai berdaftar dengan LHDNM tetapi belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) / Borang Nyata Pendapatan (BNP) / Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) bagi mana-mana tahun taksiran, pembayar cukai yang mengemukakan BNCP / BNP / BNCKHT tetapi tidak melaporkan maklumat pendapatan/keuntungan pelupusan aset dengan betul bagi mana-mana tahun taksiran atau pembayar duti yang belum membuat penyeteman surat cara melebihi enam bulan dari tempoh penyeteman (30 hari dari tarikh surat cara disempurnakan).

Pengakuan sukarela juga boleh berdasarkan tahun taksiran pendapatan itu diterima/sepatutnya diterima iaitu Tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun taksiran ke belakang bagi semua pembayar cukai dan Tahun Taksiran 2018 bagi syarikat yang mempunyai tempoh perakaunan berakhir 31 Januari 2018, 28 Februari 2018 and 31 Mac 2018.

Tawar kadar penalti lebih rendah

ABDUL MANAP: Pembayar cukai digalakkan untuk mengambil peluang sepanjang tempoh program khas pengakuan cukai sukarela itu kerana penalti yang dikenakan lebih rendah berbanding kadar sedia ada.

Tempoh pengakuan cukai sukarela dari 3 November 2018 sehingga 30 Jun 2019 adalah sebanyak 10 peratus dan bagi tempoh dari 1 Julai 2019 ke 30 September 2019 kadar penalti dikenakan ialah sebanyak 15 peratus.

Bagaimanapun selepas tempoh program khas itu tamat, kadar penalti lebih tinggi akan dikenakan iaitu mengikut Subseksyen 112(3) ACP/ Subseksyen 51(3) APCP/Subseksyen 29(3) ACKHT sebanyak 45 peratus.

Kadar penalti minimum berjumlah 45 peratus juga dikenakan di bawah Subseksyen 113(2) ACP/ Subseksyen 52(2) APCP/ Subseksyen 30(2) ACKHT, manakala untuk Subseksyen 47A(1) AS ia bergantung atas duti kurang dibayar.

Pengenalan penalti adalah bergantung kepada kepada polisi dan dasar kerajaan semasa dan dibuat untuk berlaku adil kepada pembayar cukai lain yang selama ini mematuhi peraturan percukaian.

Dalam pada itu, LHDNM menegaskan bahawa program khas seumpama ini tidak akan dilaksanakan pada masa depan.

Kaedah pengakuan cukai sukarela yang perlu dilakukan

ABDUL MANAP: Bagi pembayar cukai yang tidak pernah berdaftar dengan LHDNM, mereka perlu membuat pendaftaran nombor cukai pendapatan terlebih dahulu dan mengemukakan BNCP/BNP/BNCKHT bagi tahun taksiran berkaitan dalam tempoh program khas sama ada secara e-filing/e-lodgement atau manual.

Pembayar cukai boleh membuat pendaftaran fail cukai pendapatan di semua kaunter perkhidmatan (Ibu Pejabat/ Cawangan/ PKH/ UTC/PPM), di mana mereka perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri atau dokumen berkaitan (sila rujuk Portal Rasmi LHDNM); atau secara dalam talian melalui e-Daftar iaitu bagi syarikat dan individu sahaja.

Bagi pembayar cukai yang berdaftar tetapi belum mengemukakan BNCP/BNP/BNCKHT pula, mereka perlu mengemukakan BNCP bagi tahun taksiran berkaitan secara e-filing atau manual.

Pembayar cukai yang mengemukakan BNCP tetapi tidak melaporkan pendapatan/keuntungan pelupusan aset dengan betul boleh membuat pengakuan secara bertulis melalui surat atau emel.

Di mana pengakuan cukai sukarela boleh dibuat?

ABDUL MANAP: Pembayar cukai boleh membuat pengakuan sukarela di mana-mana pejabat LHDNM di seluruh Malaysia termasuk Pusat Khidmat Hasil dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Pembayar cukai juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai LHDNM di mana-mana cawangan atau boleh menghubungi pejabat LHDNM berdekatan; Hasil Care Line LHDNM di talian:1-800-88-5436 atau 603-77136666 (Luar Negara), selain emelkan ke: pengakuansukarela@hasil.gov.my

Jangan sia-siakan bulan terakhir sebelum program berakhir

ABDUL MANAP: Bagi pembayar cukai yang masih culas dalam melapor dan membayar cukai pendapatan, mereka diminta memanfaatkan peluang pada saat-saat akhir ini dan segera tampil membuat pengakuan cukai secara sukarela.

Pembayaran cukai menerusi program khas ini boleh dilakukan sebelum atau pada 1 Oktober 2019 dan program ini secara asasnya, mensyaratkan pembayar cukai melaporkan pendapatan yang tertinggal dengan sepenuhnya dan membuat bayaran dalam tempoh ditetapkan.

Pembayar cukai yang gagal menjelaskan baki cukai pada akhir tempoh yang ditetapkan, kenaikan cukai akan dikenakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa dan jika tunggakan cukai tidak dibayar dalam tempoh ditetapkan tindakan mahkamah boleh diambil.

Di mana pengakuan cukai sukarela boleh dibuat?

ABDUL MANAP: Pembayar cukai boleh membuat pengakuan sukarela di mana-mana pejabat LHDNM di seluruh Malaysia termasuk Pusat Khidmat Hasil dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Pembayar cukai juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai LHDNM di mana-mana cawangan atau menghubungi pejabat LHDNM berdekatan:

Hasil Care Line LHDNM di talian 1-800-88-5436 atau 603-89111100 (luar negara), selain e-melkan ke pengakuansukarela@hasil.gov.my.

Jadual
Jadual