Umno sedia lima iltizam pulih semula parti

Datuk Seri Mohamad Hassan - Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Umno membentangkan lima garis iltizam untuk tanahair yang akan dijadikan panduan dalam membangunkan serta memulihkan parti itu.

Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Umno memerlukan segala daya usaha dan komitmen anggota-anggota setia, untuk mendukung, memulih serta membangunkan semula parti sebagai gerakan politik.

Lima iltizam itu adalah, pertama, membina dan menyuburkan sistem demokrasi Malaysia melalui kepimpinan yang berprinsip sebagai pembangkang.

Kedua, membangunkan wibawa Umno sebagai parti pembangkang yang terhormat dan disegani; ketiga, memerangi politik wang; keempat, idea akan dijadikan modal politik Umno dan kelima, beriltizam untuk menyemak kembali agenda Melayu.

Menurut Mohamad, selama empat setengah tahun yang berbaki ini, Umno akan menjadi wadah semak dan imbang yang tegas serta lebih serius dalam memerangi politik wang.

"Kepada semua ahli, sedarlah bahawa politik wang adalah keji pada agama, adat dan amalan.

"Saya dan rakan-rakan dalam parti akan membersihkan parti sebersih-bersihnya, sesiapa yang tidak ingin bersama dalam 'perang' ini, berpindahlah ke parti seberang sana, atau ke mana-mana pihak yang boleh memberikan anda habuan yang diharapkan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Umno yang baru hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya.

Sementara itu, Mohamad menegaskan untuk membangunkan semula Umno pasti akan mengambil masa, memandangkan tiada rumus yang mudah dan tepat yang boleh diambil untuk terus digunakan.

"Justeru saya meminta semua ahli Umno, rakan dan taulan Umno, untuk bersedia melalui jalan yang sukar dan berliku ini bersama-sama.

"Biar apa pun yang menanti di hadapan, kita akan tempuh dan lalui bersama dengan penuh integriti dan bertanggungjawab, janganlah sesekali mengharapkan kejayaan pantas, tetapi yakinlah bahawa sabar dan tabah itu jodohnya bahagia," katanya.

Tambahnya, Umno memerlukan kecerdasan yang baru dan radikal, bukan lagi retorik dan slogan kosong.

"Gejala politik lama yang telah melemahkan Umno dari dalam, harus dihentikan, dan ahli-ahli perlu membuka telinga kepada maklum balas rakyat walaupun ia mungkin sukar didengari, ramai yang tertanya-tanya ke mana Umno akan dibawa selepas tahun yang penuh cabaran ini, maka bertabahlah semua," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia